YANGON 4 Okt. – Tindakan keras junta tentera Myanmar ke atas para penunjuk perasaan dan penangkapan berterusan berjaya mengembalikan ketenangan di Yangon ketika ini.
Bagaimanapun pada masa yang sama, perasaan tidak puas hati dan marah di kalangan rakyat dikatakan semakin meningkat berikutan pertumpahan darah yang berlaku.
Kuasa Usaha diplomatik Amerika Syarikat (AS), Shari Villarosa memberitahu, beliau yakin angka kematian akibat pembanterasan tentera minggu lalu lebih tinggi daripada yang diakui oleh junta dan beribu-ribu lagi terus disumbat ke penjara.
“Di jalan-jalan raya Yangon, keadaan menjadi pulih tetapi sesiapa yang tinggal di sini dapat melihat perubahan suasana.
“Memang sebelum ini berlaku rasa tidak puas hati tetapi kini ia berbaur dengan kemarahan dan ketakutan,” katanya.
Villarosa berkata, penduduk di negara ini menderita kejatuhan ekonomi berterusan, kekurangan peluang pendidikan, sistem penjagaan kesihatan yang semakin merosot dan kurangnya kebebasan.
Menurut beliau, bantahan besar-besaran telah berjaya dikawal tetapi para pemimpin rejim “gagal menyuraikan punca rasa tidak puas hati.”
Villarosa merupakan ketua misi Washington di Myanmar kerana AS tidak mempunyai duta ke negara ini.
“Perasaan itu telah membuak sejak bertahun-tahun dan kini ia ditambah dengan kemarahan terhadap kekerasan yang dilakukan ke atas penunjuk perasaan dan kekejaman yang dilakukan ke atas para sami,” jelasnya.
Menurut beliau, junta tentera masih meneruskan usaha memburu dan penangkap para pejuang demokrasi pada waktu malam di Yangon dan Mandalay.
“Kami masih menerima laporan. Mereka mengadakan perintah berkurung dan setiap malam mereka menangkap ramai orang,” ujarnya.
– AFP
0 comments:
Post a Comment