Kes bunuh Altantuya: Kesan darah dalam jip Sirul milik Altantuya

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali


BERI KETERANGAN: Primulapathi menyambung keterangan dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Ujian DNA sama spesimen pada jam tangan, subang mangsa: Saksi

SHAH ALAM: Pakar kimia semalam mengesahkan kesan darah yang ditemui pada permukaan atas sepasang selipar yang dijumpai dalam jip tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, adalah milik wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, J K Primulapathi, berkata keputusan itu diperoleh selepas menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap kesan darah terbabit dan mendapati ia menyamai DNA pada jam tangan, subang dan cincin milik Altantuya.

Saksi pendakwaan ke-39 itu berkata, melalui ujian yang dijalankan, beliau dapat merumuskan bahawa DNA kesan darah pada selipar dan barangan kemas itu dimiliki oleh individu yang berkongsi keturunan sebelah ibu yang sama.

Katanya, bagi spesimen selipar dan barang kemas itu, beliau menjalankan ujian DNA mitochondrial yang hanya menunjukkan salur galur keturunan sebelah ibu.

Primulapathi berkata, beliau turut menjalankan ujian DNA sama terhadap bahagian dalam jaket kulit hitam milik Sirul Azhar iaitu di kawasan leher, ketiak dan lengan dalam dan ia juga menyamai DNA kesan darah pada selipar serta dua spesimen rambut (milik Altantuya) yang dijumpai di tempat kejadian.


Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin, apakah yang boleh dirumuskan daripada persamaan itu, Primulapathi menjawab: “Saya boleh katakan individu itu (Altantuya) pernah memakai jaket berkenaan.

Katanya, DNA tulang dan tisu (dipercayai milik Altantuya yang dijumpai di tempat kejadian) juga menunjukkan ia adalah anak perempuan biologikal Setev Shaariibuu dan isterinya, Altansetseg Sanjaa berdasarkan kepada ujian yang dijalankan terhadap spesimen darah pasangan suami isteri itu.

Katanya, kebarangkalian ketepatan ujian bagi menentukan keturunan adalah 99.9999 peratus apabila dikira berdasarkan kepada pangkalan data populasi bangsa Melayu, India dan Cina di Malaysia.

Noorin: Jadi kamu boleh memberikan keputusan muktamad bahawa tisu dan rambut itu adalah milik anak perempuan dua spesimen darah (milik Setev Shaariibuu dan Altansetseg)?

Primulapathi: Ya.

Noorin: Bagaimana keputusannya jika hanya ujian dijalankan pada satu spesimen darah saja (Setev Shaariibuu). Adakah kamu boleh mendapatkan keputusan sama?

Primulapathi: Ya. Keputusan terbaik adalah mendapatkan spesimen darah kedua-dua ibu bapa dan keputusannya adalah 99.9999 peratus. Bagaimanapun, jika spesimen bapa saja diambil, saya masih boleh menentukan perhubungan itu, tetapi peratusannya mungkin kurang iaitu 99.9996 peratus.

Noorin: Adakah peratusan kebarangkalian ibu bapa individu itu akan terjejas jika individu berkenaan berbangsa Mongolia?

Primulapathi: Hanya sedikit terjejas.

Noorin: Tetapi keputusan tidak akan terjejas jika kedua ibu bapa individu itu memberikan sampel darah mereka untuk dianalisis, betul?

Primulapathi: Dalam kes ini tidak diragukan lagi bahawa individu itu (Altantuya) adalah anak perempuan biologikal kedua pasangan terbabit. Pangkalan populasi hanya untuk menunjukkan kebarangkalian peratusan. Jika DNA sama, tidak ada sebarang persoalan lagi. Walaupun tanpa pangkalan data populasi, saya masih boleh merumuskan dia adalah anak perempuan biologikal pasangan itu.

Bagaimanapun, Primulapathi berkata, hasil ujian DNA terhadap sehelai rambut (dijumpai dalam jip Sirul Azhar) bagaimanapun tidak menyamai mana-mana DNA daripada spesimen darah Shaariibuu, Altansetseg, Sirul Azhar, Abdul Razak Baginda, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Lans Koperal Rohaniza Roslan (teman wanita Azilah).

0 comments: