Kad SIM berjaya dikeluar, tempoh reman disambung

PETALING JAYA 4 Okt. – Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini berjaya mengeluarkan kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) ditelan wanita warga Indonesia yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin.

Bagaimanapun, sumber PPUM enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu termasuk bila dan cara kad itu dikeluarkan serta di mana kad itu sekarang.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman seorang wanita warga Indonesia terbabit.

Majistret Izralizam Sanusi mengeluarkan perintah supaya wanita itu ditahan selama enam hari lagi sehingga 10 Oktober ini, mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Tempoh tahanan reman ke atas wanita berusia 23 tahun itu yang ditahan pada 29 September lalu yang sepatutnya tamat hari ini.

Wanita warga Indonesia tersebut tiba di perkarangan Mahkamah Majistret di sini pada pukul 3.05 petang ini dengan menaiki sebuah kereta peronda polis.

Dia yang kelihatan tidak terurus dan dipercayai memakai pakaian yang sama ketika polis mendapatkan perintah reman ke atasnya pada 29 September lalu diiringi dua orang pegawai polis wanita.

Pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Asisten Supritendan Loh Pei Pei berkata, lanjutan tahanan reman itu membolehkan polis meneruskan siasatan.

“Tetapi polis tidak boleh mendedahkan banyak maklumat kerana dikhuatiri akan menganggu siasatan,’’ katanya ketika ditemui di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini.

Wanita itu ditahan Sabtu lalu di sebuah gerai menjual pakaian di bazar Ramadan, Nilai, Negeri Sembilan berhampiran pasar raya besar Giant.

Wanita terbabit kemudiannya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana menelan kad SIM yang dipercayai mengandungi maklumat penting yang boleh membantu siasatan kes itu.

0 comments: