Program Angkasawan Negara: DBKL aktifkan skrin besar

PUTRAJAYA 4 Okt. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengaktifkan skrin besar di Dataran Merdeka untuk memaparkan siaran langsung pelancaran Program Angkasawan Negara pada 10 Oktober ini.

Kementerian Wilayah Persekutuan dalam kenyataannya di sini hari ini menyebut, siaran langsung akan bermula pada pukul 8 malam sehingga selesai pelancarannya bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan detik bersejarah negara itu.

‘‘Warga kota dijemput datang ke Dataran Merdeka sebagai tanda sokongan sambil menyaksikan rakyat pertama negara berlepas ke angkasa pada pukul 9.21 malam di Baikonour Cosmodrome, Kazakhstan,” menurut kenyataan itu.

Dua angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr. Faiz Khaleed sedang dikuarantin bagi memastikan kesihatan kedua-dua angkasawan tersebut tidak terjejas menjelang tarikh pelancaran Rabu ini.

Kedua-dua mereka menjalani pelbagai latihan simulasi dan eksperimen bagi menyesuaikan diri apabila berada di angkasa lepas selama 10 hari nanti.

Selain itu, mereka juga meneruskan latihan bagi mengekalkan kecergasan fizikal serta kekuatan mental.

Tambah kenyataan itu, melalui inisiatif DBKL tersebut, pihak kementerian berharap seluruh rakyat akan berasa bangga kerana Malaysia berjaya melancarkan program angkasawan pertamanya.

Ia juga sejajar dengan agenda kerajaan untuk memupuk minat khususnya di kalangan generasi muda terhadap penerokaan dan penglibatan negara dalam bidang teknologi sains angkasa.

Menurut kenyataan itu lagi, usaha tersebut juga diharap dapat menampilkan ketokohan serta keupayaan negara dalam mempelopori bidang sains dan teknologi angkasa.

0 comments: