Larangan terbit ajaran al-Arqam

KUALA LUMPUR: Kerajaan mewartakan larangan terhadap orang ramai daripada mengeluarkan sebarang penerbitan yang bertujuan menyampaikan atau menghidupkan semula ajaran al-Arqam berkuatkuasa semalam.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Che Din Yusoh berkata larangan itu meliputi penerbitan yang bertujuan menyampaikan atau menghidupkan semula ajaran, pegangan dan fahaman ahli jemaah Rufaqa Corporation Sdn Bhd dan Kumpulan al-Arqam.

Perintah larangan itu adalah di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengikut Seksyen 8(2) akta itu, mereka yang disabitkan kesalahan mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan larangan yang dilarang, boleh dikenakan tindakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Pada 21 September lepas akhbar melaporkan bahawa kumpulan ajaran sesat yang diharamkan dan berselindung dengan nama perniagaan Rufaqa Corporation Sdn Bhd dipercayai kembali aktif dengan menyebarkan propaganda kepada para anggotanya yang mendakwa kegiatan mereka direstui Yang di-Pertuan Agong.

Tuanku Mizan Zainal Abidin pada hari sama melahirkan rasa dukacita atas dakwaan dusta mengaitkan nama Seri Paduka dengan kegiatan kumpulan itu. � Bernama

0 comments: