13 kes lagi menunggu

13 kes lagi menunggu

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Institut Jantung Negara (IJN) di sini berjaya melakukan 18 pembedahan pemindahan jantung sejak 1997 dan tiga pembedahan pemindahan paru-paru sejak 2005.

Menurut jurucakap IJN, sehingga kini masih terdapat 13 pesakit di institut itu yang menunggu penderma jantung dan paru-paru.

“Kali pertama IJN berjaya menjalankan pemindahan jantung ialah ke atas pesakit R. Sathrugnan pada 18 Disember 1998.

“Sayangnya, dia meninggal dunia tiga tahun kemudian kerana jangkitan paru-paru yang teruk. Dia didapati menghidap kanser paru-paru,” kata jurucakap itu.

Pembedahan pemindahan jantung IJN membuktikan kadar pesakit bertahan hidup bagi tahun pertama meningkat daripada 22 peratus kepada 85 peratus.

Untuk tempoh selama lima tahun, kadar bertahan hidup antara 60 hingga 70 peratus manakala selepas 10 tahun antara 45 hingga 55 peratus.

Muhammad Fikri Nor Azmi ialah rakyat negara ini yang pertama menerima Implantable Venticular Assist Device (IVAD) atau jantung mekanikal sebelum menunggu penderma jantung yang sesuai ditemui untuk pembedahan pemindahan jantung.

“IVAD ialah alat sementara yang membantu jantung dengan mengambil alih kebanyakan fungsi jantung. Ia disambung pada jantung dan membantu mengurangkan tekanan ke atas jantung,” kata jurucakap itu.

Jantung mekanikal itulah yang digunakan oleh Tee Hui Yee, remaja berusia 14 tahun yang menjalani pembedahan pemindahan jantung di IJN hari ini.

0 comments: