‘Sumbangan terakhir anak saya’

Oleh Abdul Razak Din

SITIAWAN 4 Okt. – “Kalau anak saya itu dikebumikan bersama semua organnya, dia tidak mungkin dapat memberi manfaat kepada orang lain. Inilah sumbangan terakhirnya.

“Saya juga bersetuju mendermakan organ anak lelaki saya kerana dia adalah anugerah Allah dan kini tiba giliran saya mengembalikan pemberian Allah itu sebagai tanda syukur.”

Itulah luahan bapa remaja berusia 15 tahun yang mendermakan jantung, paru-paru, hati dan buah pinggangnya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya Isnin lalu.

Penderma tersebut merupakan seorang pelajar berusia 15 tahun yang terbabit dalam kemalangan antara motosikal dengan bas di Batu 10, Lekir dekat sini pada Isnin lalu selepas menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Akibat kemalangan itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala telah koma selama tiga hari sebelum meninggal dunia di Hospital Ipoh petang semalam.

Jantung yang didermakannya itu diterima oleh gadis berjantung mekanikal, Tee Hui Yee, 14, yang menunggu jantung baru sejak setahun lalu.

Seorang lagi penerima organ remaja itu ialah seorang lelaki berusia 39 tahun yang mendapat paru-paru remaja itu dan telah menjalani pembedahan serentak dengan Hui Yee di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur hari ini.

Bapa remaja itu yang enggan namanya disiarkan berkata, sebagai makhluk ciptaan Allah, semua yang ada pada tubuh setiap manusia adalah milik Yang Maha Esa dan sewajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Semua ini (tubuh manusia) adalah milik Allah,’’ katanya dalam nada suara perlahan sambil menahan sebak ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Beliau menambah, walaupun masih bersedih dengan kehilangan anaknya itu, mereka sekeluarga reda dengan kekuasaan Allah kerana kematian anaknya itu dapat memberi kehidupan baru kepada insan lain.

“Walaupun anak saya sudah tiada tetapi kini saya merasakan kami mendapat seorang anak angkat,” katanya.

Menurutnya, beliau membuat keputusan mendermakan organ anaknya itu setelah mendapat nasihat doktor dan juga terbaca laporan akhbar mengenai seorang gadis yang menantikan jantung baru.

Bagaimanapun, katanya, ketika membuat keputusan mendermakan organ badan anaknya itu, dia menyerahkan kepada jasa baik pihak hospital untuk memberikannya kepada mana-mana pesakit yang memerlukan.

“Saya berasa gembira setelah mendapat panggilan daripada seorang doktor yang memaklumkan bahawa jantung anak saya yang didermakan kepada Hui Yee berjaya dipindahkan kepada gadis itu dalam satu pembedahan di IJN hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, bapa penderma itu terkejut apabila didatangi oleh pihak media di rumahnya malam ini sedangkan tidak ramai yang tahu tentang tindakan dia mendermakan organ anaknya itu.

Namun, kehadiran wartawan disambut dengan baik. Katanya, dia tidak mengharapkan sebarang ganjaran atau ucapan terima kasih apabila membuat keputusan mendermakan organ anaknya itu.

“Apa yang kami minta daripada pihak hospital ialah supaya tidak memberitahu identiti anak kami. Saya harap pihak hospital dan orang ramai menghormati permintaan kami ini,” katanya.

0 comments: