Hui Yee terpaksa jalani pemindahan terima jantung lain

PUTRAJAYA 5 Okt. - Remaja perempuan berjantung mekanikal, Tee Hui Yee, menjalani pemindahan menerima jantung lain pagi ini setelah badannya menolak jantung seorang pemuda yang dipindahkan kepadanya semalam, kata Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek.

Pemindahan jantung terbaru itu berlangsung dari 2 pagi hingga 8 pagi tadi di Institut Jantung Negara, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Rawatan dan Pemulihan Dadah di Agensi Antidadah Kebangsaan di sini.

“Keadaan Tee Hui Yee kini lebih stabil walaupun kritikal,” kata Soi Lek.

Beliau berkata, Hui Yee bernasib baik kerana terdapat seorang penderma organ dari Johor Bahru menyumbangkan jantungnya.

Hui Yee, 14, bergantung kepada jantung mekanikal selama setahun sebelum menerima jantung yang didermakan oleh seorang pemuda dari Sitiawan, yang meninggal dunia akibat satu kemalangan jalan raya.

Soi Lek enggan mendedahkan identiti penderma kedua itu berdasarkan permintaan keluarganya.

“Semua penderma organ berharap tidak dikacau ganggu oleh wartawan dan media,” katanya.

Chua berkata, kerajaan mengucapkan terima kasih kepada penderma itu dan berharap ia boleh menjadi contoh kepada yang lain.

Beliau berkata, 1,500 mangsa kemalangan setahun mengalami koma dan mengalami “kematian otak”, dan golongan ini merupakan sumber organ yang diperlukan oleh penerima organ.

“Dalam keadaan malang pun, kita dapat selamatkan orang lain dengan mendermakan organ kita.

“Saya difahamkan semua agama tidak menghalang sesiapa pun menderma organ,” katanya. - Bernama

0 comments: