Kes Nurin: Kad SIM berjaya dikeluar

Oleh Nurhayati Abllah, Fatin Hafizah Mohd Shahar dan Ifwan Tun Tuah


LEMAH: Wanita warga Indonesia, suspek kes pembunuhan Nurin Jazlin dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk disambung reman, semalam.

Mahkamah lanjutkan reman suspek warga Indonesia enam hari lagi

PETALING JAYA: Selepas enam hari, doktor semalam berjaya mengeluarkan kad SIM telefon bimbit yang ditelan suspek wanita Indonesia yang disiasat bagi membantu kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8.

Sumber memberitahu Berita Harian, kad itu berjaya dikeluarkan pagi semalam, selepas doktor dan jururawat mengeluarkannya secara fizikal melalui duburnya, selepas dia enggan makan atau membuang air besar.

"Selepas pihak hospital berjaya mengeluarkan kad SIM, wanita itu dibenarkan keluar dari wad Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 12.30 tengah hari dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sebelum ke Mahkamah Majistret di sini, untuk menyambung reman," katanya.

Suspek dikatakan menelan kad SIM itu ketika dalam tahanan polis kerana dipercayai mengandungi maklumat yang dapat membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin.

Wanita itu yang ditahan di wad PPUM sejak Sabtu lalu, dipercayai bertindak demikian kerana tidak mahu objek yang dikesan dalam perutnya, keluar apabila membuang air besar.

Suspek sebelum itu ditahan bersama dua telefon bimbit dan empat kad SIM di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, Sabtu lalu, dan dia dikatakan menyorok satu lagi kad berkenaan di bawah lidah sebelum menelannya ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini, melanjutkan tempoh reman wanita itu enam hari lagi mulai semalam bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam kanak-kanak berusia 10 tahun, pada 17 September lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Izralizam Sanusi pada jam 3.55 petang, selepas menerima permohonan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Loh Pei Pei.

Izralizam membuat permohonan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Suspek yang memakai baju kuning dengan seluar panjang coklat itu dilihat masih dalam keadaan yang lemah ketika dibawa ke mahkamah pada jam 3.05 petang dengan kereta polis dan memasuki kamar mahkamah lima minit kemudian diiringi dua anggota polis wanita.

Mengikut laporan akhbar sebelum ini, wanita warga Indonesia berusia 23 tahun itu disyaki mengurung Nurin Jazlin di sebuah pasar raya di Bandar Baru Nilai.

Dia juga dikatakan menjaga makan minum Nurin Jazlin sepanjang tempoh kehilangannya selama 27 hari, sebelum dibunuh dan mayatnya disumbat dalam beg sukan berhampiran sebuah pejabat di Petaling Jaya, 17 September lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, enggan mengulas lanjut dan hanya memberitahu suspek masih berada di PPUM.

"Perkara ini masih dalam siasatan dan saya tidak boleh komen," katanya ringkas selepas pelancaran Ops Sikap XIII 2007 dan Ikon Ops Sikap di Dataran Bentong, Pahang, semalam.

Ditanya mengenai Kedutaan Indonesia di sini yang dikatakan tidak dapat mengesahkan status kerakyatan suspek, Musa berkata: "Memang suspek warga Indonesia. Mereka boleh menemuinya tapi ia perlulah dilakukan dengan kehadiran polis," katanya.

0 comments: