Penantian Hui Yee berakhir

Oleh RAJA LUVENA SHARIFUDDIN dan NIZAM YATIM


DUA petugas perubatan Institut Jantung Negara (IJN) membawa dua buah beg berisi organ termasuk jantung (beg kiri) yang didermakan oleh seorang remaja Melayu yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Perak, kelmarin. Organ itu dibawa ke IJN dari Hospital Ipoh menggunakan pesawat CN235 Tentera Udara Diraja Malaysia. – Gambar Bernama.

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Selepas setahun menanggung derita kerana terpaksa bergantung kepada jantung mekanikal sebagai penyambung hayat, penantian Tee Hui Yee untuk mendapatkan jantung baru berakhir apabila ada insan yang sudi mendermakan organ itu kepadanya.

Keluarga seorang remaja lelaki Melayu berusia 15 tahun dari Sitiawan bersetuju mendermakan organ anak mereka termasuk jantung kepada pesakit-pesakit yang memerlukan.

Jantung remaja yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya itu dipindahkan ke tubuh Hui Yee dalam satu pembedahan maraton selama 13 jam di Ipoh dan Kuala Lumpur.

Pada pukul 7 malam, pasukan perubatan Institut Jantung Negara (IJN) di sini diterbangkan ke Ipoh untuk melakukan pembedahan mengeluarkan organ remaja lelaki Melayu itu di Hospital Ipoh pada pukul 8.30 malam.

Organ-organ itu kemudian diterbangkan ke Kuala Lumpur dengan penerbangan ihsan pesawat CN235 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mendarat di Subang dekat sini.

Dari situ, organ-organ itu dikejarkan dengan ambulans ke IJN dan tiba di institut itu pada tengah malam tadi. Ketika itu Hui Yee telah pun berada dalam dewan pembedahan untuk memulakan prosedur pemindahan jantung baru itu.

Penderitaan Hui Yee, 14, yang terpaksa bergantung nyawa kepada jantung mekanikal sejak setahun lalu berakhir malam tadi, tiga hari selepas Utusan Malaysia menggerakkan kempen Mencari Jantung Untuk Hui Yee.

Keluarga remaja lelaki Melayu yang koma sejak Isnin lalu akibat kemalangan jalan raya membuat keputusan untuk mendermakan organ anak mereka selepas membaca laporan akhbar mengenai pendermaan organ dan setelah dinasihatkan oleh doktor-doktor di Hospital Ipoh.

IJN dalam satu kenyataan petang ini memberitahu, Hui Yee telah dibawa masuk ke bilik pembedahan di IJN pada pukul 10.45 malam tadi sejurus selepas pemindahan jantung dijalankan dengan jayanya di Hospital Ipoh oleh pasukan perubatan IJN.

Jantung remaja lelaki itu dibawa terus ke IJN untuk operasi pemindahan jantung yang dilakukan pada pukul 1.30 pagi ini selepas Hui Yee berada di dewan bedah mulai pukul 10.45 malam.

“Pembedahan ke atas Hui Yee berlangsung selama 10 jam dan Hui Yee dikeluarkan dari bilik pembedahan pada pukul 9.05 pagi ini.

“Pembedahan berlangsung dengan jayanya, namun beliau kini berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Hui Yee yang menunggu selama setahun sebelum ini telah menghadapi pelbagai masalah dengan jangkitan dan keadaan pemakanan yang merosot. Di ICU, beliau kini memerlukan sokongan mekanikal sementara bagi menstabilkan jantung barunya,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, pasukan pemindahan IJN yang melakukan pembedahan itu diketuai oleh Ketua Pakar Bedah Kardiotorasik, Datuk Dr. Mohd. Azhari Yakub dan Pengarah Klinikal bagi Pemindahan Jantung dan Paru-Paru, Dr. Mohamed Ezani Md. Taib.

Pasukan pemindahan telah bertungkus-lumus menjayakan pembedahan tersebut sejak petang semalam sebaik sahaja sepasukan 13 pegawai perubatan termasuk jururawat dari IJN berlepas ke Ipoh setelah mendapat berita mengenai seorang penderma yang meninggal dunia pada kira-kira pukul 5 petang.

Sebaik tiba di lapangan terbang di ibu negeri Perak itu yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Kuala Lumpur, mereka bergegas ke Hospital Ipoh untuk memindahkan organ jantung daripada penderma untuk Hui Yee.

Di hospital itu mereka turut mengambil paru-paru remaja itu, yang kemudian dipindahkan kepada seorang pesakit lelaki berusia 39 tahun yang menghidap idiopathic pulmonary fibrosis, iaitu penyakit paru-paru keras.

Pembedahan pemindahan paru-paru itu dijalankan oleh pasukan perubatan lain di IJN serentak dengan pembedahan ke atas Hui Yee.

“Kedua-dua pembedahan itu melibatkan enam pakar bedah kardiotorasik, enam pakar anestetik, seorang doktor dari Institut Penyelidikan Respiratori dan 30 pegawai paramedik.

“Selepas dibedah, lelaki itu turut ditempatkan di ICU dan berada dalam keadaan kritikal,” katanya

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada sidang akhbar di IJN pagi ini berkata, proses pemulihan Hui Yee dijangka menghadapi pelbagai cabaran kerana tahap kesihatannya terjejas teruk akibat bergantung kepada jantung mekanikal sejak setahun lalu.

Pengurus Komunikasi Korporat IJN, Aina Jamil pula memberitahu, ibu bapa Hui Yee kini berada di ICU dan belum bersedia memberikan sebarang kenyataan kepada pihak media.

Beliau menambah, pasukan perubatan juga belum bersedia mengadakan sidang akhbar kerana mereka perlu memantau keadaan kedua-dua pesakit itu dengan rapi.

0 comments: