Pemuda sedia bantu polis cari pembunuh

Oleh Anwar Hussin

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno yang memandang serius kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang dianggap sebagai luar biasa dan tidak berperikemanusiaan, mahu pihak berkuasa melakukan apa cara sekalipun bagi menangkap pembunuh kejam itu.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Pemuda akan memberi segala sokongan dan bantuan kepada polis bagi membolehkan pembunuh berkenaan ditahan segera.

"Kes pembunuhan ini cukup ganjil dan tidak pernah berlaku kepada orang Islam dan Melayu di Malaysia. Secara peribadi, saya merasakan nilai-nilai asas pada anak muda kita perlu diperkukuhkan.

"Selain itu, isu keselamatan turut mendapat perhatian Pemuda Umno seperti isu pendatang tanpa izin yang membimbangkan kita. Kita berharap pihak terbabit memandang perkara ini secara serius dalam konteks keselamatan rakyat dan tanah air," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Exco Pergerakan Pemuda Umno, di sini, semalam.

Hishammuddin yang kemudian menghadiri Majlis Berbuka Puasa Pemuda Umno yang dihadiri kira-kira 1,000 Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Pada majlis itu Pemuda Umno turut memberi sumbangan berjumlah RM50,000 kepada perenang muda negara, Mohd Norazmin Abdul Aziz, 23, yang merentasi Selat Melaka selama 24 jam 33 minit pada 19 Ogos lalu.

Norazmin, yang berenang dari Teluk Rhu di Pulau Rupat, Sumatera ke Port Dickson, sejauh 65 kilometer, menamatkan Cabaran Selat Melaka Putera Umno 2007, sekali gus berjaya mencatatkan rekod baru Guinness Book of World Records sebagai perenang termuda berenang tanpa sangkar di Selat Melaka dalam tempoh kurang 25 jam.

Hishammuddin berkata, sebagai Menteri Pelajaran, beliau bertanggungjawab membentuk nilai murni kepada anak muda dan dalam usaha ke arah itu, kementeriannya akan menilai semula kurikulum, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan pendidikan guru.

"Kajian yang akan kita lakukan ini menjelang 2010, bertujuan membentuk dan membekal anak-anak muda kita dengan nilai murni dan menghadapi kekuatan bagi berdepan dengan cabaran baru," katanya.

Sementara itu, mengenai isu kekerasan melampau yang dilakukan junta Myanmar dalam meleraikan tunjuk perasaan rakyatnya sehingga menyebabkan kematian, Hishammuddin berkata, Pemuda Umno dan Pemuda Barisan Nasional (BN) sudah menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Myanmar bagi menuntut keadilan dan kestabilan dikembalikan di negara berkenaan.

0 comments: