|
|
ISLAMABAD 4 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto hari ini berkata, partinya sehingga kini belum mencapai apa-apa kemajuan berhubung usaha perkongsian kuasa dengan Presiden Pervez Musharraf.
“Kami optimis mengenai hal itu tetapi setakat ini saya belum dapat menyatakan bahawa persetujuan tersebut telah mencapai kata akhir,’’ tegasnya pada sidang media selepas pertemuan dengan pemimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP) di sini.
Katanya, jika persetujuan dicapai, PPP tidak akan mengarahkan Ahli-Ahli Parlimennya meletak jawatan seperti yang diumumkan olehnya sebelum ini.
“Sekiranya kata sepakat diperoleh, kami akan menyokong Pervez,’’ tegasnya.
Benazir semalam mengancam untuk merosakkan rancangan pilihan raya Presiden Pervez dengan mengarahkan Ahli Parlimen partinya meletak jawatan.
Menurut Benazir, sikap keras kepala Pervez dalam perbincangan itu telah memaksa PPP memikirkan kemungkinan beralih arah dan menyertai kumpulan pembangkang.
“Kemungkinan besar kami akan meletak jawatan hari ini atau esok.
“Pada fikiran saya, peletakan jawatan PPP dari Parlimen akan memberi kesan besar kepada kesahihan pemilihan Presiden itu,” katanya, semalam.
Tegas beliau, perbincangan tersebut telah tergendala sepenuhnya dan negara ini mungkin menuju ke arah kacau-bilau di jalanan kerana rejim sedia ada tidak dapat membaiki situasi semasa negara ini.
Kerajaan Pervez bagaimanapun mendakwa perbincangan dengan Benazir telah disambung semula Selasa lalu termasuk kesediaan memberi pengampunan kepada ahli politik yang telah didakwa tetapi belum disabit kesalahan, termasuk Benazir dan Nawaz Sharif.
Tindakan Benazir itu juga dilihat sebagai taktik saat akhir sebelum pemilihan Presiden diadakan Sabtu ini.
0 comments:
Post a Comment