Turki bincang skop gempur gerila Kurdis di utara Iraq

ANKARA: Pemimpin tentera dan awam Turki mengadakan mesyuarat semalam bagi membincangkan mengenai skop dan tempoh kemungkinan serangan melepasi sempadan ke atas pemberontak Kurdis di Iraq ketika sokongan rakyat semakin kuat terhadap tindakan itu.

Turki, yang sudah menggerakkan tentera ke sempadan Iraq, memberi amaran kepada negara jirannya itu dan sekutu Barat kelmarin bahawa serangan tidak dapat dielakkan kecuali kerajaan di Baghdad mengambil tindakan, dan menegaskan Ankara tidak akan mengadakan gencatan senjata dengan pemisah.

Pemimpin Turki berdepan desakan memuncak di negara mereka untuk melancarkan serangan di utara Iraq, lokasi pemberontak Parti Pekerja Kurdistan (PKK) berlindung, berlatih dan mendapat bekalan sebelum kembali ke Turki untuk melancarkan serangan ke atas sasaran awam.


Iraq bercadang menghantar delegasi pegawai tinggi ke Turki dalam masa beberapa hari untuk membincangkan masalah itu.

Menteri Luar Turki, Ali Babacan, yang kembali dari Baghdad lewat kelmarin, berkata: "Kami menegaskan mahu mereka memberi cadangan konkrit dan jika sebaliknya lawatan itu tidak bermakna."

Amerika Syarikat mengeluarkan tuntutan secara langsung supaya penduduk Kurdis Iraq yang memegang kuasa autonomi di wilayah itu melancarkan tindakan antipemberontakan.

Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki, mengarahkan penutupan semua pejabat PKK di Iraq dan berkata mereka tidak dibenarkan beroperasi di wilayah Iraq. � AP

0 comments: