China berjaya lancar pesawat pengorbit bulan


Rentetan pelancaran roket Long March 3A yang membawa pengorbit bulan Chang’e 1 selepas berlepas dari pusat pelancaran satelit Xichang di wilayah Sichuan, semalam. – Reuters.

BEIJING 24 Okt. – China berjaya melancarkan pesawat pengorbit bulannya yang pertama hari ini sebagai langkah penting dalam rancangannya untuk menempatkan angkasawan di bulan menjelang 2020.

Misi itu juga merupakan langkah pertama dalam rancangan 10 tahun untuk menghantar pesawat peninjau ke bulan dan mengembalikannya ke Bumi.

Televisyen kerajaan menunjukkan roket Long March 3A yang membawa pesawat pengorbit Chang’e 1 itu dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Xichang di wilayah Sichuan, barat daya negara ini sejurus selepas 6.00 petang (waktu sama di Malaysia).

Pegawai Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan China sebelum itu mengesahkan keadaan cuaca baik untuk membolehkan pelancaran diteruskan.

Chang’e 1 akan mengorbit Bumi sementara pelarasan teknikal dilakukan dan akan memasuki orbit bulan pada 5 November.

Matlamat misi itu adalah untuk menganalisis komposisi kimia dan mineral di permukaan bulan.

Pesawat tersebut akan menggunakan kamera stereo dan spektrometer X-ray untuk menghasilkan imej tiga dimensi permukaan bulan dan untuk mengkaji debu bulan.

– AP

0 comments: