ANKARA 24 Okt. – Turki telah mula menyerang kedudukan para pemberontak Kurdis di selatan Iraq sambil meningkatkan bilangan tenteranya di sempadan. Beberapa pesawat perang dan tentera darat Turki, telah menyerang kedudukan pemberontak berkenaan sejak Ahad lalu hingga malam tadi.
Menurut sumber tentera, dalam kejadian sebelum ini jet pejuang terbang sejauh 20 kilometer ke dalam wilayah Iraq, sementara kira-kira 300 askar darat mara kira-kira 10 kilometer dalam serangan yang membunuh 34 gerila Parti Pekerja Kurdistan (PKK).
Unit artileri tentera turut membedil kedudukan pemberontak, katanya.
Sumber menyifatkan serangan itu merupakan operasi kecil ke seberang sempadan bergunung-ganang itu, dan bukan operasi besar-besaran yang ingin dielakkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan kerajaan Iraq.
Sementara itu, jurucakap AS meminta kedua-dua pihak yang terbabit tidak bertindak lebih jauh kerana bimbang ia akan mewujudkan ketidakstabilan di wilayah Kurdish, Iraq.
“Serangan lanjut ke utara Iraq boleh dijangka,” kata seorang pegawai tentera ketika pihak kerajaan turut membincangkan untuk mengadakan serangan besar-besaran melepasi sempadan, tinadakan yang cuba dihalang oleh sekutu barat negara itu.
Serangan tentera dilancarkan selepas 12 askar Turki terbunuh dan lapan lagi hilang dalam serangan hendap oleh gerila PKK dekat sempadan Iraq pada Ahad lalu.
Turki yang memindahkan askar ke kawasan sempadan memberi amaran kepada Iraq dan sekutu-sekutunya di Barat semalam bahawa serangan ke utara Iraq boleh berlaku pada bila-bila masa kecuali kerajaan di Baghdad bertindak ke atas pemberontak tersebut.
Ankara juga menegaskan gencatan senjata tidak mungkin diadakan dengan gerila PKK.
Pemimpin Turki menghadapi tekanan hebat daripada rakyat supaya melancarkan serangan ke utara Iraq di mana gerila PKK mendirikan kem-kem untuk berehat, berlatih dan mendapat bekalan dalam situasi yang lebih selamat sebelum masuk semula ke Turki untuk melancarkan serangan.
Iraq bercadang untuk menghantar satu delegasi peringkat tinggi ke Turki dalam masa beberapa hari bagi membincangkan masalah itu.
Menteri Luar, Ali Babacan yang pulang dari Baghdad malam tadi berkata: “Kami telah menyatakan kami menghendaki mereka mengemukakan cadangan konkrit, kalau tidak lawatan saya tidak bererti apa-apa.”
Washington membuat tuntutan paling tegas setakat ini supaya tindakan diambil ke atas pemberontak oleh pemimpin Kurdis Iraq yang memiliki autonomi ke atas wilayah di utara negara itu.
“Kami bukan menagih janji sahaja.
“Kami menyatakan apa yang diperlukan ialah PKK dihalang menggunakan wilayah Iraq, bantuan lojistik dan semua aktiviti PKK di Iraq dihentikan dan semua kemnya ditutup,” kata Ali.
Beliau menambah, Ankara juga mahu para pemimpin PKK ditangkap dan diekstradisi ke Turki.
– AP
0 comments:
Post a Comment