Juruaudit profesional diguna

Oleh Shamshul Azree Samshir

Usaha kerajaan baiki kelemahan sistem pengurusan kewangan elak penyelewengan

PUTRAJAYA: Semua audit dalaman di setiap kementerian dan agensi kerajaan akan dianggotai juruaudit profesional dari Jabatan Audit Negara bagi mengelak kes salah urus dana awam, berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata langkah itu bagi membolehkan bahagian audit dalaman bertindak lebih berkesan bagi membantu pengurusan kementerian dan agensi kerajaan memantau urusan kewangan, termasuk perolehan organisasi.


"Mulai sekarang, anda boleh menjangka semua audit dalaman akan dianggotai juruaudit profesional dari jabatan ini," katanya pada majlis jamuan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, semalam.

Ambrin mengulas hasil siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 mengenai salah urus dana awam membabitkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan.

Sehingga semalam, 11 orang termasuk enam pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta tiga pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Kota Bharu, Raub dan Seremban atas tuduhan yang mempunyai kaitan dengan laporan berkenaan.


BPR juga mencadangkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap lima pegawai kanan KBS yang terbabit dalam mesyuarat berkaitan pembelian peralatan dan kelengkapan untuk lapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada harga lebih tinggi, berbanding harga pasaran.

Mengulas lanjut, Ambrin berkata, kelemahan dalam sistem pengurusan, termasuk kewangan, wajar diperketatkan supaya tidak dieksploitasi mana-mana pihak.

Ditanya bagaimana audit dalaman terlepas pandang berhubung penyelewengan dana awam yang dikesan Jabatan Audit Negara, beliau berkata, bidang pengurusan kini amat luas.

"Anda perlu faham bidang pengurusan meluas... pengurusan dana hari ke hari, banyak jabatan, agensi dan orang yang terbabit. Ini pun (pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara) kita dapat secara rawak dan bila buat rawak, kita terjumpa maka kita laporkan.

"Kerana itu, cadangan yang dikemukakan BPR bagi meningkatkan sistem pemantauan dalam menguruskan dana awam, perlu dipertimbang dan disokong. Kalau itu dapat mengurangkan atau mengelak kejadian tidak sewajarnya, kita semua harus sokong," katanya.

Beliau juga berkata, tindakan BPR mendakwa individu yang terbabit dalam penyelewengan dan pecah amanah itu memang wajar kerana kerajaan amat serius dalam soal akauntabiliti dan integriti.

"Seperti yang dinyatakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, kerajaan serius dalam isu akauntabiliti dan integriti. Saya lihat ia tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa," katanya.

Mengenai individu yang sudah didakwa hasil Laporan Ketua Audit Negara, Ambrin berkata: "Biarlah undang-undang menentukannya. Kalau sudah didakwa melalui proses mahkamah, kita ikutilah selanjutnya apa kesudahannya."

Ditanya apakah tindakan sama juga diambil terhadap Laporan Audit Negara sebelum ini, beliau berkata: "Saya pun tidak berapa pasti... sebab saya baru menjadi Ketua Audit Negara. Tetapi sejak saya menjadi Ketua Audit Negara, nampaknya tindakan susulan dibuat seperti dinyatakan kerajaan, yang serius dalam perkara ini."

Ditanya apakah beliau berpuas hati dengan tindakan BPR, Ambrin berkata perasaannya tak penting.

"Apa yang penting kerajaan buat apa sepatutnya dibuat," katanya.

Mengenai kemungkinan Laporan Ketua Audit Negara tahun depan menjadi lebih baik atau 'bersih', Ambrin berkata, proses audit masih dilakukan dan terlalu awal untuk menyatakannya.

0 comments: