Kebakaran: Bomba AS mengaku kalah

SAN DIEGO 24 Okt. – Pasukan bomba yang berdepan angin kencang terpaksa mengaku kalah semalam dalam pertarungannya untuk memadamkan kebakaran tidak terkawal yang memaksa lebih 500,000 penduduk melarikan diri di California Selatan.

Perpindahan lebih setengah juta penduduk itu adalah yang terbesar dalam sejarah California dengan membabitkan kawasan dari utara Los Angeles sehingga ke San Diego dan sempadan Mexico.

Pasukan bomba berkata, mereka tidak dapat berbuat apa-apa selain mencegah kebakaran baru sehinggalah angin Santa Ana reda dalam sehari dua lagi.

“Kami tidak lagi cuba memadamkan kebakaran itu kerana angin terlalu kencang, kami hanya cuba menyelamatkan bangunan,” kata anggota bomba, Jim Gelrud.

Kebakaran yang sukar diramalkan dan kerap bertukar arah itu telah memusnahkan lebih 1,800 rumah, menghanguskan kawasan hampir 1,554 kilometer persegi dan menyebabkan seorang maut.

Gabenor Arnold Schwarzenegger berkata, api mengancam 68,000 lagi rumah.

“Kita menghadapi situasi yang sangat malang disebabkan gabungan tiga faktor, kawasan yang sangat kering, cuaca yang sangat panas dan kemudian angin kencang,” kata beliau.

Lebih 12 kebakaran yang merebak di seluruh California Selatan sejak Ahad lalu telah mencederakan lebih 45 orang termasuk 21 anggota bomba.

Di Daerah San Diego, pihak berkuasa menelefon 346,000 buah rumah untuk mengarahkan penghuni berpindah, kata jurucakap operasi kecemasan daerah, Luis Monteagudo.

Berdasarkan data banci dan lainnya, 560,000 penduduk telah diarah berpindah.

“Bilangan itu cukup menggemparkan,” kata Monteagudo.

Keadaan cuaca bertambah buruk semalam dengan suhu melebihi 32.2 darjah Celsius menjelang pertengahan petang dan angin sederas 96.5 kilometer sejam di kawasan pergunungan dan lembah.

– AP

0 comments: