GENTING HIGHLANDS 24 Okt. – Bagi menghormati mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, kasino, taman tema dan premis hiburan di Genting Highlands akan ditutup dari pukul 6 pagi hingga 6 petang pada hari pengkebumiannya Isnin ini.
Naib Presiden (Operasi) Resorts World Berhad, Alan Teo berkata, pada hari itu juga, bulatan di Goh Tong Jaya menuju ke puncak bukit akan ditutup dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari bagi memudahkan urusan pengkebumian.
Menurutnya, mayat mendiang akan dibawa dari kediamannya di Vila Goh Tong pada pukul 10 pagi untuk disemadikan di Taman Memorial Goh Tong.
‘‘Orang ramai dibenarkan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di Goh Tong Villa pada Sabtu hingga Ahad ini bermula 10 pagi hingga 5 petang.
‘‘Bagi tetamu pula, mereka dibenarkan berbuat demikian selepas 12 tengah hari hingga 12 tengah malam bermula hari ini hingga Ahad ini,’’ katanya pada sidang akhbar mengenai pengkebumian pengasas Kumpulan Genting itu di sini hari ini.
Mendiang meninggal dunia pada pukul 11.20 pagi semalam di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) akibat sakit tua.
Alan Teo menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang agar meletakkan kenderaan di Stesen Rendah Genting Skyway.
Untuk memudahkan urusan pengangkutan, katanya, perkhidmatan van ke Goh Tong Villa disediakan di stesen kereta kabel itu bermula hari ini hingga Ahad ini dari pukul 9.30 pagi hingga 2.30 petang.
Tambahnya, perkhidmatan bas ekspres percuma setiap jam turut disediakan pada Sabtu dan Ahad ini dari Terminal Bas Pasar Rakyat dan Putra Gombak di Kuala Lumpur.
Sementara itu, beberapa pemimpin politik memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di kediamannya hari ini.
Antaranya ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting.
0 comments:
Post a Comment