SYDNEY 24 Okt. – Kempen seorang calon pembangkang untuk mengambil alih jawatan seorang menteri kerajaan dalam pilihan raya 24 November ini tergendala akibat dicabar oleh bekas teman wanitanya sendiri.
Calon Parti Buruh itu, George Newhouse yang mempunyai peluang besar mengambil alih jawatan milik Menteri Persekitaran Malcolm Turnbull, kini dicabar pula bekas teman wanitanya Danielle Ecuyer yang mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Wentworth di Sydney.
Kempen Newhouse yang hanya ketinggalan 2.5 peratus di belakang Turnbull sebelum ini musnah apabila sebahagian penyokongnya beralih kepada bekas teman wanitanya itu yang memperjuangkan isu persekitaran di Australia.
Ecuyer bagaimanapun menafikan tindakannya bertanding di dalam pilihan raya itu adalah sebagai balasan terhadap Newhouse selepas hubungan mereka berakhir bulan lalu.
“Tiada dendam antara kami dan tindakan ini tidak berkaitan dengan George.
“Kegagalan perhubungan kami bermakna saya kini bebas untuk mengambil langkah penting yang saya fikir diabaikan oleh parti politik utama di negara ini,” katanya kepada akhbar Daily Telegraph.
Ecuyer juga menjelaskan dia telah menangguhkan cita-citanya di dalam bidang politik ketika masih bersama Newhouse tetapi enggan mendedahkan punca mereka berpisah.
– AFP
0 comments:
Post a Comment