Kes bunuh Altantuya: Tiada ujian dibuat pada selipar

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

Saksi beritahu kesan cap jari tak nampak di permukaan kasar

SHAH ALAM: Polis tidak menjalankan sebarang ujian mengesan cap jari dan Asid Deoksiribonukleik (DNA) ke atas sepasang selipar yang ditemui dalam jip tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar.

Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Superintendan Soo Me Tong, 51, berkata beliau dan pasukannya, iaitu Unit Siasatan Tempat Kejadian (CSI) hanya melakukan ujian Kastle Meyer bagi membuktikan wujudnya kesan darah pada selipar.


Ketika menjawab soalan balas peguam Hsnal Rezua Merican yang mewakili Sirul Azhar, Soo berkata tiada pemeriksaan cap jari dilakukan kerana permukaan atas selipar itu kasar dan berdasarkan pengalamannya, walaupun ujian dibuat kesan cap jari tidak akan dapat diperoleh.

"Ujian mengesan cap jari melalui kaedah Super Glue Fuming dilakukan pada permukaan yang licin seperti cermin, plastik atau logam yang bercat. Apabila gam dipanaskan, asap berwarna putih yang terhasil akan menimbulkan kesan cap jari.

"Ujian Ninhydrin pula dilakukan pada permukaan yang berliang seperti kayu dan kertas di mana sejenis larutan disembur pada permukaan itu dan kesan cap jari akan timbul selepas sehari, oleh itu ia lebih sesuai dilakukan di makmal.


"Bagaimanapun kedua-dua ujian ini tidak sesuai dilakukan kerana permukaan selipar lebih kasar," katanya.

Disoal Hasnal, Soo berkata beliau tidak menggunakan putik kapas untuk mengambil apa-apa sampel daripada selipar itu bagi tujuan analisis DNA kerana ia akan dilakukan Jabatan Kimia Malaysia.

Beliau berkata, apabila bahan bukti dihantar ke Jabatan Kimia, ahli kimia pasti dapat mengesan jika selipar itu mengandungi DNA orang lain.

Katanya, beliau juga tidak mengambil kesan peluh pada selipar kerana ia adalah ringan apabila dipegang, jadi sukar untuk mendapatkan sampel DNA daripadanya.

Hasnal: Sebaik menghantar semua bahan bukti kepada ASP Tonny (Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Tonny Anak Lunggan), kamu tidak menerima apa-apa makluman balas daripadanya selepas itu?

Soo: Ya.

Hasnal: Jadi, kamu tidak tahu sama ada ujian DNA dilakukan atau tidak pada permukaan atas selipar ini?

Soo: Saya tidak tahu.

Hasnal: Adakah kamu mengambil contoh kesan tanah pada selipar?

Soo: Tidak kerana terlalu sedikit dan tidak cukup untuk dibuat perbandingan.

(Sebelum ini, seorang ahli kimia dalam keterangannya berkata beliau hanya melakukan ujian DNA pada kesan darah yang terdapat pada selipar itu dan hasil analisisnya mendapati kesan darah itu milik wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu)

Sementara itu, disoal balas seorang lagi peguam Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin, Soo bersetuju tompokan darah pada selipar adalah comot kerana disentuh sesuatu objek sebelum ia kering.

Bagaimanapun, beliau menafikan ia disentuh menggunakan jari atau tangan kerana melalui pemerhatiannya tiada kesan jalur cap jari pada tompokan darah itu.

Kamarul Hisham: Jadi, adalah penting untuk mendapatkan kesan cap jari bagi menentukan siapakah yang menyebabkan tompokan darah itu menjadi comot?

Soo: Kalau saya boleh nampak jalur cap jari pada kesan darah itu barulah penting untuk saya mendapatkannya tetapi dalam kes ini saya tidak nampak.

Kamarul Hisham: Bolehkah selipar ini dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis DNA dulu dan kemudian diminta semula untuk dibuat ujian cap jari di makmal PDRM?

Soo: Selipar ini tidak sesuai untuk ujian cap jari kerana permukaannya kasar.

Kamarul Hisham: Soalan saya mudah, ada kamu hantar untuk kesan cap jari?

Soo: Tidak.

Kamarul Hisham: Oleh kerana tidak ada sebarang ujian cap jari atau DNA dibuat pada selipar, setuju saya katakan kamu tidak akan tahu siapa yang pakai selipar ini di sekitar waktu sebelum atau selepas kejadian?

Soo: Setuju.

Sementara itu ketika menjawab soalan peguam Hazman Ahmad yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, Soo mengakui pemeriksaan yang dijalankannya terhadap barangan dijumpai dalam jip tidak dibuat secara menyeluruh.

Hazman: Dengan kehadiran pakaian dalam jip itu, ada kemungkinan orang lain yang guna kenderaan terbabit?

Soo: Prinsip itu tidak terpakai dalam kes ini. Jika kamu jumpa baju saya di rumah kamu, ia tidak bermakna saya berada di situ kerana ada banyak kemungkinan lain.

Hazman: Tetapi ada kemungkinan orang itu masuk?

Soo: Ia tidak dapat memberikan sebarang kesimpulan atau keputusan.

Hakim: Kamu setuju atau tidak ada kemungkinan orang lain masuk ke dalam kenderaan itu?

Soo: Kemungkinan ada tetapi ia bukannya satu kesimpulan.

Hazman: Jadi kenapa kamu tidak hantar pakaian itu juga untuk ujian DNA?

Soo: Baju selalunya tidak dipegang dengan kuat.

Hazman: Kalau dipakai?

Soo: Kalau dipakai dan kalau ada peluh boleh diperiksa melalui profil DNA.

Hazman: Kalau baju tidak dicuci, profil DNA boleh diperoleh?

Soo: Boleh.

Hazman: Dengan itu saya katakan bahawa pemeriksaan dan ujian yang kamu buat adalah selektif bukan menyeluruh?

Soo: Setuju.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hanim Rashid dalam sesi pemeriksaan semula, saksi itu berkata beliau tidak menghantar baju itu bagi ujian DNA kerana beranggapan pakaian adalah kepunyaan pemilik jip kerana ia dilipat dan disimpan dengan kemas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.

0 comments: