‘Saya tak pernah lafaz cerai’

Oleh NON EINAI MOHD. AMIN

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Ahli perniagaan, Sosilawati Lawiya, 44, hari ini membuat permohonan untuk bercerai dengan suaminya, Jamaludin Elias, 48, yang lebih dikenali dengan panggilan Nash bekas vokalis utama kumpulan Lefthanded di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur dekat sini hari ini.

Permohonan itu didengar di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang dan Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Nash yang memakai kemeja dan tali leher hijau dan berjaket hitam tiba di mahkamah bersama peguamnya, Amli Embong kira-kira pukul 9.05 pagi sementara isterinya, Sosilawati Lawiya yang mengenakan pakaian baju kurung moden warna oren ditemani peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain tiba sejurus selepas itu.

Kedua-duanya dilihat masuk ke pejabat am mahkamah itu tanpa bertegur sapa namun anak gadis Sosilawati bersalam sambil mencium tangan bapa tirinya sebelum masing-masing masuk ke bilik mahkamah.

Dalam prosiding ringkas hari ini, hakim menetapkan kes itu disebut semula pada 23 November ini untuk memberikan peluang kepada kedua-dua pihak menyelesaikan kebuntuan itu secara damai melalui perundingan.

Sementara itu, dalam satu sidang media Nash berkata: ‘‘Saya tidak pernah lafazkan cerai terhadap isteri saya.’’

Selain itu Nash memberitahu, beliau telah pun membuat dua permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Menurut beliau, dalam permohonan pertama untuk menggantungkan perintah tegahan yang difailkan oleh isterinya dan kedua bagi membatalkan perintah tegahan tersebut. Beliau memfailkan permohonan itu pada 9 Oktober lalu.

Bagi permohonan itu, tarikh sebutan ditetapkan pada 4 Disember depan bagi membolehkan peguam Sosilawati meneliti dan menjawab kandungan permohonan berkenaan.

Sosilawati pula membuat permohonan September lalu di Mahkamah Tinggi, Shah Alam dan mendapat perintah ex-parte (sebelah pihak) bagi menghalang penyanyi itu membuat sebarang transaksi atau pindah milik melibatkan amanah saham dan hartanah bernilai RM880,000.

Sosilawati yang juga pengasas produk kecantikan Nouvelle Visage mengemukakan permohonan tersebut apabila mendakwa perkahwinannya dengan Nash, selama 10 bulan itu berada dalam syiqaq (pertikaian) sehingga tiada jalan penyelesaian kecuali melalui perceraian.

Beliau turut mengemukakan beberapa alasan lain dalam permohonan tersebut yang memaksanya mengemukakan injunksi dan memfail tuntutan.

Sementara itu, Sosilawati berkata, beliau telah memfailkan kes itu di mahkamah untuk pengesahan lafaz cerai Nash terhadapnya.

‘‘Sebagai orang yang beriman, beliau (Nash) perlu pegang kepada janji. Nash telah lafazkan cerai terhadap saya melalui telefon pada malam pertama bulan Ramadan yang mulia.

‘‘Luluh hati saya apabila Nash mengatakan beliau sebenarnya tidak ada hati dan perasaan terhadap saya dan sebab itulah saya bawa kes ini ke mahkamah untuk mengetahui status saya,’’ katanya.

Sosilawati menjelaskan, jika benar seperti yang didakwa Nash bahawa beliau masih isteri yang sah, kenapa penyanyi itu tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami sejak lebih dua bulan lalu.

‘‘Sebulan sebelum Ramadan dan sehingga ke hari ini, Nash tidak pulang ke rumah dan tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami,’’ akuinya.

Tegas Sosilawati, sepanjang perkahwinan mereka, beliau telah berusaha untuk menjadi isteri yang baik malah menjadi ibu tiri yang prihatin terhadap anak-anak Nash.

Sepanjang perkahwinan mereka juga, kata Sosilawati, beliau tidak pernah menuntut apa-apa daripada Nash kecuali cinta dan kasih sayang lelaki itu.

‘‘Apa yang dituntut di mahkamah hari ini adalah hak saya sebagai wanita dan duit ringgit saya yang saya peroleh daripada titik peluh serta kerja keras saya selama ini. Saya harap hak saya dikembalikan,’’ katanya.

0 comments: