Majukan ekonomi demi kestabilan serantau – TPM

Daripada SAMSOR JUNET

PARIS 24 Okt. – Negara anggota ASEAN mesti meneruskan usaha untuk mencapai kemajuan ekonomi dan pembangunan masing-masing pada tahap tertinggi demi kestabilan rantau itu secara keseluruhan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana kemunduran ekononomi di kalangan negara anggota dan ketidakseimbangan serta ketidaksamaan dalam skala yang besar merupakan satu ancaman kepada seluruh rantau.

Beliau berkata, dalam hubungan ini adalah menjadi satu cabaran kepada ASEAN untuk memberikan segenap tumpuan dan usaha bersama bagi memastikan rantau itu berada di barisan hadapan dalam bidang ekonomi serta mendapat manafaat daripada proses liberalisasi pasaran dan globalisasi yang sedang berlaku.

‘‘Kemiskinan mesti dihapuskan, sesetengah daripada kita berjaya menanganinya tetapi ada juga negara yang masih bergelut dengan masalah ini, kita perlu menghapuskannya kerana ia menjadi satu ancaman kepada rantau ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam ucaptama bertajuk Isu-Isu Keselamatan dan Pertahanan di Asia Tenggara di Institut Hubungan Antarabangsa Perancis (IFRI) di sini hari ini sempena lawatan kerja beliau selama tiga hari ke Perancis.

Najib yang dalam ucapannya menyentuh pelbagai masalah yang dihadapi di selatan Filipina, selatan Thailand, Indonesia serta Myanmar menjelaskan, negara anggota ASEAN perlu rajin berusaha ke arah meningkatkan lagi kedudukan ekonomi bersama, kewangan, perdagangan serta pelaburan membabitkan semua negara di dunia.

Dalam hubungan ini, katanya, setiap negara juga perlu membina negara bangsa mereka dalam erti kata yang sebenar bagi memastikan keselamatan serantau kekal berpanjangan.

Dalam pada itu, kata beliau, negara anggota juga perlu meningkatkan usaha ke arah melindungi alam sekitar dengan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga tradisional dan melipatgandakan usaha ke arah menggunakan tenaga alternatif seperti biodiesel dan etanol.

Mengenai peranan Perancis dalam dunia antarabangsa dan impaknya kepada rantau Asia Tenggara, Najib berkata, negara itu sentiasa menentang penggunaan kekerasan malah sentiasa mempromosikan keamanan di bawah prinsip-prinsip kerjasama antarabangsa.

‘‘Ini dibuktikan melalui pendekatan yang diambil oleh Perancis apabila ia membabitkan hubungan luar vis-a-vis di Iraq, isu nuklear di Iran dan kesatuan baru di rantau Mediterranean,” katanya.

Sementara itu dalam dialog bersama peserta, Najib berkata, ekonomi China yang kini berkembang pesat tidak menjadi satu ancaman kepada dunia dan rantau malah ia sebaliknya menyumbang ke arah kemakmuran serantau.

‘‘China merupakan pasaran yang besar kepada negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dan saya tidak fikir ia akan mengancam atau menjajah negara lain,” katanya.

– Utusan

0 comments: