Adik Sheikh Muszaphar koma terlanggar tiang

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Kejayaan Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang selamat mendarat ke Bumi pada 21 Oktober, tidak dapat diraikan oleh adik lelakinya apabila berada dalam keadaan koma sejak empat hari lepas.

Abangnya, Sheikh Taufiq ketika dihubungi Bernama hari ini berkata Sheikh Mustafa Shukor Al Masrie, 32, jatuh pengsan selepas terlanggar tiang ketika memasuki sebuah restoran di Jalan Klang Lama di sini Ahad lepas.

“Dia terjatuh apabila terlanggar tiang dan kepalanya terhentak pada batu-bata di kawasan restoran tersebut,” katanya.

Taufiq menafikan keadaan adiknya kritikal akibat menghidap penyakit.

“Setahu saya dia tidak menghidap apa-apa penyakit... hentakan itu sangat kuat dan menyebabkan dia koma sehingga sekarang ini,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut latar belakang adiknya.

Anak keempat daripada lima beradik itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kini berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

– Bernama

0 comments: