Lindung perasuah: AMK gesa tolak kerajaan BN, Abdullah dalam pilihan raya

Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Oct 25, 07 | 4:09:02 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) - Angkatan Muda KeADILan (AMK) menggesa rakyat Malaysia menolak kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Gesaan itu dibuat Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa dengan alasan kerajaan Abdullah gagal membendung amalan rasuah termasuk rasuah di peringkat tertinggi seperti yang didedah dalam 'pita Lingam'.

"Kerajaan BN tangkap pelapor rasuah tetapi pelaku (pengamal rasuah) di kalangan pemimpin dibebaskan. AMK berdiri di belakang Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan pendedahan kes 'pita Lingam' ini.

"Tindakan ke atas Anwar (notis Seksyen 22) adalah zalim," tegas Fariz semasa berucap di hadapan penyokong KeADILan di pekarangan pejabat Anwar di Petaling Jaya pagi tadi.

Turut serta ialah, Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin; Ketua Wanita KeADILan, Zuraidah Kamarudin; bekas Ketua AMK Negeri Sembilan, Ramlan Roes dan pimpinan AMK.

Bercakap lanjut Fariz menegaskan, AMK akan sentiasa mempertahankan Anwar dan bersedia menghalang Badan Pencegah Rasuah (BPR) dari menahan Anwar jika Anwar enggan menyerahkan salinan sahih 'pita Lingam'.

Rakyat sendiri boleh menyaksikan betapa korupnya kerajaan Abdullah ini yang membiarkan perasuah bebas, sebaliknya memburu pelapor dan penentang rasuah, katanya.

Kerajaan Abdullah juga dilihat mahu menutup isu ini dengan menggunakan BPR bagi memburu Anwar supaya rakyat sendiri akhirnya akan takut untuk melaporkan kegiatan rasuah, katanya lagi.

"AMK meletakkan bahawa Anwar adalah 'hero' bangsa dan beliau sanggup berhadapan dengan dugaan kerana menentang rasuah,"ujarnya. - mks.

0 comments: