BPR perlu laksana amanah

Oleh ROZAMAN ISMAIL dan HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 24 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membuat lawatan buat kali pertama ke Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di sini hari ini mahu badan itu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan sentiasa memelihara kewibawaannya.

Menurut beliau, agensi itu perlu memelihara imejnya sepanjang masa dan terus berusaha meningkatkan keupayaannya agar dapat melaksanakan tugas dengan baik.

‘‘Saya pesan supaya mereka jalankan tugas penuh bertanggungjawab, amanah, saksama dan memelihara kewibawaan serta imej BPR.

‘‘Mereka perlu memahami bahawa mereka memikul amanah berat yang perlu dilaksanakan dengan adil dan perlu menjalankan apa juga arahan yang diberikan dengan cekap,” katanya kepada pemberita pada sesi lawatan tersebut di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, pegawai-pegawai kanan BPR dan pengarah BPR negeri.

Pada lawatan tersebut, pegawai BPR mengadakan perbarisan bagi mempamerkan uniform baru mereka yang berwarna serba hitam.

Perdana Menteri memuji uniform baru itu dan menyatakan mereka kelihatan segak dengan uniform tersebut.

‘‘Mula-mula saya cadang hendak datang untuk mendengar taklimat tentang kegiatan, kejayaan, kesusahan dan masalah yang dihadapi oleh BPR tetapi itu tidak dapat diadakan.

‘‘Saya datang juga sebab BPR mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengadakan perbarisan pegawai-pegawai yang beruniform buat kali pertama. Segak juga nampak tadi,” katanya.

Pada sidang akhbar itu, Perdana Menteri menyatakan sesi taklimat bersama BPR akan diadakan pada waktu lain dan menjemput pihak media untuk turut hadir sebagaimana yang dijanjikan.

0 comments: