‘Tindakan makan diri’ -- Pervez dikecam, rakyat anggap rampasan kuasa kali kedua

ISLAMABAD 4 Nov. – Tindakan Presiden Pervez Musharraf untuk kembali berkuasa dijangka memakan diri, menggugat kestabilan negara, mencetuskan serangan baru militan serta menyebabkan hubungan tegang dengan tentera.

Pervez yang merampas kuasa pada 1999 semalam telah mengisytiharkan perintah darurat, tindakan yang beliau dakwa akibat permusuhan dengan pihak kehakiman dan semakin meningkatnya tentangan oleh Al-Qaeda dan Taliban.

Para penganalisis berkata, kebimbangan sebenar Pervez adalah keputusan para hakim Mahkamah Agung yang akan membuat keputusan mengenai kesahihan pemilihannya sebagai Presiden pada 6 Oktober lalu.

Menurut para penganalisis, perintah darurat tidak akan melemahkan kedudukan militan yang berkubu di kawasan puak etnik di sempadan dengan Afghanistan tetapi mengukuhkan perjuangan dan meningkatkan serangan.

“Pervez melayari kapal kecil di tengah ribut politik yang besar dan tidak menentu.

“Beliau mungkin terselamat untuk sementara waktu tetapi beliau akan hanyut ditelan kemarahan, perasaan geram dan tekanan yang mahu mengembalikan keamanan dan kestabilan di Pakistan,” kata Rasul Baksh Rais, Profesor Saintis Politik di Universiti Sains Pengurusan di Lahore.

Selepas mengisytiharkan darurat, pasukan keselamatan telah menangkap beberapa pemimpin pembangkang dan peguam serta mengawal ibu negara daripada berlakunya bantahan beramai-ramai.

Beliau juga mengenakan sekatan yang ketat ke atas media dengan melarang sebarang bentuk penerbitan dan penyiaran yang mengkritik dirinya dan kerajaan.

Para penganalisis berkata, situasi yang berlaku lebih kepada undang-undang tentera berbanding darurat selepas Pervez menggantung hak-hak asas dan menambah, pembangkang tidak akan menerima keadaan itu untuk masa yang lama.

“Ia merupakan rampasan kuasa kedua oleh Pervez. Kami menuju ke arah ketidaktentuan kerana langkah ini akan dicabar oleh parti-parti politik,” kata Hasan Askari, bekas ketua sains politik di Universiti Punjab.

Penentang utama kepada langkah Pervez ini pasti datang dari bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto dan pemimpin pembangkang, Maulana Fazlur Rahman.

Rasul Baksh berkata, kebangkitan militan pasti akan memberikan tekanan kepada Pervez.

“Langkah ini akan memberi kesan kepada perang terhadap militan dan keganasan. Jika anda menekan demokrasi popular, anda hanya menyebabkan terhasil penentangan militan dan bersenjata,” jelasnya.

Penganalisis juga memberi amaran, bahaya terbesar akibat langkah Pervez ialah tentangan dari tentera yang menjadi tulang belakang rampasan kuasa 1999 dan pemerintahannya selama lapan tahun.

Menurut beliau, moral tentera berada pada tahap terendah akibat siri serangan dan penculikan ke atas tentera serta dikaitkan dengan perasan tidak puas hati rakyat.

“Darurat ini menyebabkan hubungan beliau dengan tentera semakin tegang tetapi kita akan menyaksikan penindasan selepas ini,” katanya.

– AFP

0 comments: