KUALA LUMPUR - Jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei merangkul kejuaraan Siri Super ketiganya tahun ini selepas menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Paris semalam.
Kejayaan itu bagaimanapun gagal dituruti pasangan veteran, Choong Tan Fook-Lee Wah Wah yang terus kempunan untuk memenangi gelaran Siri Super pertama mereka.
Malah, kekalahan 14-21, 19-21 kepada bekas beregu nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun menjadikan kejuaraan Asia satu-satunya gelaran yang dimenangi pasangan nombor enam dunia itu.
Selain muncul naib juara Terbuka Denmark, pencapaian terbaik Tan Fook-Wan Wah sebelum ini ialah muncul naib juara Terbuka Singapura.
Sementara itu Chong Wei menambah koleksi kejuaraannya musim ini selepas menang mudah 21-11, 21-14 ke atas pemain nombor tiga dunia, Bao Chunlai.
Kemenangan bukan saja menebus kekalahan Chong Wei pada separuh akhir Terbuka Denmark, minggu lalu, malah memberi kejuaraan Siri Super ketiga selepas Terbuka Indonesia (Mei) dan Terbuka Jepun, September lalu.
Pemain nombor dua dunia itu juga merupakan juara Terbuka Filipina, sekali gus menjadikannya sebagai perseorangan kedua paling cemerlang tahun ini selepas pemain nombor satu dunia, Lin Dan.
Chong Wei hanya memerlukan 35 minit untuk mengetepikan Chunlai, kemenangan mudah kedua dalam sehari. Kelmarin, dia hanya memerlukan 32 minit untuk menewaskan pemain nombor empat dunia, Chen Jin 21-8, 21-8.
Zhang Yawen-Wei Yili dari China pula muncul juara beregu wanita selepas mengalahkan pasangan senegara, Zhao Tingting-Yu Yang 21-10, 21-15.
0 comments:
Post a Comment