51 pengikut kumpulan al-Arqam didakwa hari ini

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Jaipp terus kesan pergerakan pengikut Ashaari di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Semua 51 pengikut setia kumpulan al-Arqam yang diharamkan termasuk isteri Ashaari Muhammad, Hatijah Aam, 53, yang ditahan minggu lalu, dijangka didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Barat Daya, Balik Pulau, hari ini.

Ketua Unit Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp), Faizal Ibrahim, berkata mereka berusia 20-an hingga 50-an, akan hadir di pejabat Jaipp untuk diambil keterangan sebelum dibawa ke mahkamah.

Katanya, selepas keterangan mereka diambil, kumpulan itu yang terdiri daripada 27 lelaki dan 24 perempuan termasuk dua remaja berusia 13 dan 15 tahun, akan dihadapkan ke mahkamah.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 9, Seksyen 12 dan 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang (EKJSNPP) 1996, yang masing-masing membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Mereka akan didakwa menghina atau ingkar arahan pihak berkuasa, mengembangkan ajaran yang bertentangan dengan fatwa dan mencetak atau menyebarkan buku dan lain-lain dengan cara bertentangan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Seksyen 9 membabitkan tuduhan menghina atau mengingkari arahan pihak berkuasa agama; Seksyen 12 - memberi, mengembangkan atau menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan fatwa dan Seksyen 13, cuba mencetak, menyiarkan, menerbitkan, merakam, menyebar atau dengan apa-apa cara seperti buku dan lain-lain dengan cara bertentangan.

Kelmarin, Berita Harian melaporkan 51 orang dipercayai pengikut setia Ashaari ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Ara, Sungai Ara.

Jaipp yang mendapat bantuan anggota polis turut merampas pelbagai barang termasuk potret Ashaari dalam serbuan jam 10.15 malam itu. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Shahbudin Yahya, berkata operasi itu menunjukkan keseriusan pihak berkuasa dalam menangani ajaran sesat.

"Kejayaan ini menunjukkan Maipp dan Jaipp memandang serius masalah itu yang dianggap cuba merosakkan akidah umat Islam," katanya.

Mengulas lanjut, Shabudin berkata, pihaknya percaya perjumpaan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan ajaran Aurad Muhamadiah secara sulit.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan pergerakan dan kegiatan pengikut Ashaari di negeri ini.

"Kami berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan ajakan orang yang dikenali atau tidak dikenali untuk mengikuti ajaran kumpulan itu," katanya.

0 comments: