Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
SHAH ALAM 4 Nov. – Pakar senjata api, Shaari Desa akan mengemukakan laporan hasil ujian ke atas 70 barang bukti pada perbicaraan kes bunuh Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Tinggi, di sini yang masuk hari ke-54 esok selepas semuanya dibuka dan dikenalpasti pada 29 Oktober lalu.
Beliau yang juga Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat di Seksyen Kriminalistik, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia, Petaling Jaya akan menyambung keterangan berhubung kesan bahan peledak pada bahan bukti yang diambil dari tempat kejadian
Saksi pendakwa ke-40 ini juga akan mendedahkan hasil perbandingan yang dilakukan ke atas kelongsong peluru dan selaras sub mesingan HK-MP5 SD (P263A) tanpa kelopak yang dipasang penyerap bunyi (silencer) pada penghujung laras.
Begitu juga sampel-sampel tanah yang dijumpai pada tayar dan pelapik tayar kenderaan pacuan empat roda milik tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar.
Bahan peledak dan sebahagian daripada peralatannya, Cutting Linear Charge (CLC), elektrik detonator dan detonator cord yang menimbulkan kebimbangan tentang tahap keselamatannya pada tarikh perbicaraan lalu juga akan diterangkan hasil analisis ke atasnya satu persatu.
Tidak ketinggalan keratan wayar, getah, cebisan plastik, rambut, serpihan tulang, ketulan lembut dan lain-lain.
Pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin bagi membolehkan saksi menerangkan tentang hasil-hasil analisisnya dijangka mengambil masa sehari.
Dalam kes itu, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh itu dibicara bersama penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.
0 comments:
Post a Comment