UDM: 34 penduduk di Kampung Tembila dapat pampasan


BERKORBAN... Wan Limah Wan Embong, 69, menerima pampasan RM89,038 semalam setelah tanahnya diambil untuk dibina Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Dia tidak pernah terfikir sebelum ini bahawa tanah seluas setengah ekar di Kampung Gedong Mas, Besut, Terengganu yang telah lebih 25 tahun diterokai bersama arwah suami,Yusoff Deraman kini begitu berharga dan membahagiakan hari tuanya bersama anak-anak. – Gambar Mahathir Ali.

BESUT 4 Nov. – Sebanyak 34 penduduk yang terlibat dengan pengambilan balik tanah untuk pembinaan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Kampus Besut di Kampung Tembila dekat sini menerima pampasan hari ini.

Penyampaian cek pampasan berjumlah RM5.7 juta disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad pada majlis perasmian mula kerja UDM itu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Mereka yang ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana kerajaan telah menunaikan janji yang dibuat sebelum ini meskipun merasa berat hati kerana terpaksa melepaskan tanah yang didiami sejak lebih 20 tahun lalu.

Namun begitu mereka berpuas hati dengan pampasan yang diberikan dan jika ada kekurangan dianggap sebagai pengorbanan rakyat demi membantu kerajaan memartabatkan bidang pendidikan.

Samad Daud, 61 tahun berkata, sebelum ini dia tidak menyangka sama sekali tanah yang sebelum ini hanya diusahakan dengan tanaman tembakau akan didirikan sebuah pusat pengajian tinggi.

Sumbangan

Katanya, apa yang dilakukan oleh kerajaan disambut oleh penduduk dengan rela hari melepaskan tanah mereka sebagai sumbangan dan sokongan rakyat kepada kerajaan untuk menjayakan agenda pendidikan.

“Sebenarnya ini juga untuk merealisasikan konsep hijrah daripada kehidupan lama kepada kehidupan yang maju dan lebih baik dan menjadikan impian rakyat demi kemajuan bangsa sebagai realiti,” ujarnya.

Awang Seman Awang, 63 berkata, sememangnya sebelum ini tidak ada penduduk di kawasan itu yang percaya bahawa tanah mereka akan meningkat harganya sehingga mencapai ratusan ribu ringgit.

Tapi katanya, hari ini sudah terbukti dan walaupun sebagai golongan tua tetapi menerima keadaan itu kerana mahukan rakyat peluang menimba ilmu sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan.

Habsah Mohamad, 42 berkata, walaupun tanah pusaka yang didiami sejak lahir lagi tetapi dia tidak menolak usaha kerajaan itu yang begitu prihatin untuk memberikan rakyat pendidikan terbaik.

“Walaupun saya sendiri tidak berpeluang untuk menjejak kaki ke universiti ini mungkin anak atau cucu saya nanti akan mendapat peluang dan ini merupakan satu kebanggaan kerana penduduk di sini,” ujarnya.

0 comments: