Tuntutan Malaysia konsisten

Oleh Khirul Bahri Basaruddin dari The Hague, Belanda


JADI REBUTAN: Pulau Batu Putih menjadi isu pertikaian Malaysia, Singapura.

Hujah KL, Singapura di ICJ berhubung pertikaian isu Pulau Batu Putih bermula esok

MALAYSIA menamakannya sebagai Pulau Batu Putih, manakala Singapura memanggilnya Pedra Branca, tetapi kedua-duanya bermakna batu putih dalam bahasa Melayu dan Portugis.

Pulau seluas 2,000 meter persegi itu terletak di pertemuan Selat Johor dan Laut China Selatan menempatkan Rumah Api Horsburgh sempena mengambil nama Kapten James Horsburgh, keturunan Scotland yang bekerja dengan Syarikat Hindia Timur bertanggungjawab membuat pemetaan perairan kawasan berkenaan.


Pada 1979, Malaysia melakukan pemetaan sempadan maritim yang meliputi Pulau Batu Putih sebagai wilayahnya kerana Kesultanan Johor tidak pernah menyerahkan pulau itu ketika menyerahkan Singapura kepada British pada 1824.

Pulau itu diserahkan kepada pihak British untuk tujuan pembinaan Rumah Api bagi memudahkan laluan kapal melalui perairan itu.

Pada 1824, Kesultanan Johor menyerahkan Singapura kawasan sekitar 10 batu nautika kepada penjajah British menerusi Syarikat Hindia Timur. Pulau Batu Putih terletak kira-kira 25 nautika dari sempadan Singapura, manakala ia kira-kira 7.7 batu nautika dari Pulau Penyusop, Johor.


PETA kedudukan Pulau Batu Putih

Singapura pula mendakwa sudah mentadbir Pedra Branca dan menguruskan Rumah Api Horsburgh seawal 1851 apabila negara itu diperintah British berikutan Perjanjian Inggeris-Belanda (Anglo-Dutch) pada 1824.

Pada akhir abad ke-19, sebahagian besar Tanah Melayu sudah dijajah British dan Singapura diperintah sebagai Negeri-negeri Selat pada 1826 dan kemudian bermula 1867 sebagai jajahan diraja British.

Negara jiran itu kemudian memperoleh pemerintahan sendiri pada 1959 dan kemudian menjadi sebahagian daripada Malaysia pada 1963, dan keluar daripada Malaysia pada 7 Ogos 1965.

Perjanjian Pemisahan Malaysia-Singapura tidak menyatakan isu kedaulatan Pedra Branca dan negara jiran itu terus mentadbir pulau berkenaan dan rumah api hingga hari ini. Singapura mendakwa negara itu mempunyai kedaulatan penuh ke atas Pedra Branca sejak 1840 tanpa bantahan Malaysia.

Tuntutan terhadap Middle Rock yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Putih dan South Ledge, yang berada 1.7 batu nautika dari Middle Rock, dibuat Singapura pada 1993.

Pada 1994, kedua-dua negara anggota Asean itu bersetuju membawa pertikaian itu untuk pengadilan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda melalui Perjanjian Khas untuk memuktamadkan kedaulatan Pulau Batu Putih atau Pedra Branca.

Pada masa sama, mahkamah juga diminta menyelesaikan dua lagi wilayah di kawasan itu Middle Rocks dan South Ledge untuk keputusan.

Perjanjian Khas yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, “Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih; Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura. Kedua-dua negara akan menerima keputusan mahkamah sebagai muktamad dan mengikat kedua-dua pihak".

Pada 20 September 2007, ICJ menetapkan 6 hingga 23 November ini untuk kedua-dua negara mengemukakan hujah lisan bagi menyokong tuntutan negara masing-masing sebelum panel 14 hakim tetap serta dua hakim ad-hoc membuat keputusan mereka.

Malaysia sejak dulu lagi konsisten dengan pendirian bahawa Pulau Batu Putih tidak pernah menjadi milik Singapura walaupun negara jiran itu secara rasmi menjadi sebuah negara merdeka pada 1965.

Berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas status Pulau Batu Putih mendapati Kesultanan Johor atau kini Malaysia mempunyai bidang kuasa dan kedaulatan penuh ke atas pulau itu sejak 1513. Kesultanan Johor-Riau-Lingga diasaskan pada 1513 oleh Sultan Mahmood yang menyerahkan Melaka kepada Portugis pada 1511.

Mengikut perjanjian Inggeris-Belanda (Anglo-Dutch) pada 1824, untuk menyelesaikan pertikaian kedua-dua negara ke atas Kesultanan Johor ketika itu, satu garis pemisah kawasan pengaruh diwujudkan sama ada di sebelah Selat Melaka dan Selatan Singapura.

Mengikut garis sempadan itu, Pulau Batu Putih berada dalam kawasan pengaruh British dan dalam wilayah kerajaan Johor sekarang yang secara sah mengambil hak kedaulatan itu daripada Kesultanan Johor dulu.

Sehubungan itu, Singapura perlu membuktikan bahawa Pedra Branca pernah diserahkan kepada Britain pada sebarang masa dan negara itu mempunyai hak berdasarkan hak dipegang oleh penjajah sebelum ini.

Bagaimanapun, tidak terdapat bukti dokumentasi untuk menunjukkan bahawa Kesultanan Johor pada 1918, 1828 atau mana-mana tarikh yang tercatat dalam sejarah pernah menyerahkan Pedra Branca kepada Britain.

Sebenarnya, pihak British hanya memindah haknya kepada Singapura berdasarkan hak diterima daripada pihak berkuasa dalam Kesultanan Johor untuk mendapat kebenaran mendirikan rumah api di Pulau Batu Putih. Rumah api itu secara rasminya beroperasi pada 1851 dan sejak itu pihak penjajah menduduki serta mengurus rumah api berkenaan.

Pihak Britain pada ketika itu juga membina rumah api di wilayah Malaysia iaitu wilayah pajakan Pulau Pisang, Kukup di Selat Melaka.

Tidak dapat dinafikan bahawa persetujuan antara pihak Kesultanan Johor dan British itu hanya untuk membolehkan pihak penjajah membina dan menyelenggara rumah api itu. Kerajaan Johor tidak pernah pada bila-bila masa menyerah atau memberi pulau yang menjadi pertikaian itu kepada Britain.

Berhubung isu pemetaan yang ditimbulkan Singapura, Malaysia mendakwa pemetaan bukan satu perkara luar biasa kerana setiap negara akan membuat pemetaan dari semasa ke semasa. Pada 1979, kita mahu mencetak peta baru dan sudah tentu kita perlu mengemaskinikan segala perkara termasuk di dalam Malaysia.

Ia adalah sebahagian proses yang berpusat untuk menunjukkan mana wilayah 96 peratus wilayah yang menjadi hak Malaysia. Pada masa itu, satu perjanjian dibuat oleh Singapura antara Sultan Johor dengan Temenggong di mana terdapat satu definisi berhubung Pulau Singapura iaitu 10 batu dari pulau itu dan ia terletak lebih jauh daripada tempat itu.

Ia bukan satu perkara yang luar biasa bagi Malaysia untuk memasukkan semula peta kerana ia dilakukan atas dasar pentadbiran yang sering dilakukan dari semasa ke semasa.

Dalam membuat tuntutan itu, Singapura berhujah negara itu menduduki Pedra Branca dan hak kedaulatan pulau lebih 130 tahun sejak 1840 tanpa sebarang bantahan dari Malaysia. Sepanjang tempoh itu, negara itu menyelenggara Rumah Api Horsburgh dan kemudahan lain di pulau berkenaan, selain membantu kapal yang belayar di kawasan itu dengan selamat.

Dalam tempoh 130 tahun itu juga Malaysia tidak pernah menuntut hak ke atas Pulau Batu Putih, terutama pada 1965 ketika Singapura menjadi sebuah negara merdeka serta mempunyai hak kedaulatan ke atas pulau-pulau di dalam wilayahnya.

Singapura mendakwa Malaysia tidak pernah menuntut hak ke atas Pedra Branca disokong oleh kenyataan yang dikeluarkan oleh pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada 1953 yang menyatakan negeri itu tidak membuat sebarang tuntutan ke atas Pulau Batu Putih yang ditadbir Singapura ketika itu. Malah, dalam peta Malaysia sebelum 1974, menunjukkan Pedra Branca milik Singapura.

Pada masa sama sejak Malaysia diberi hak kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan oleh ICJ pada 17 Disember 2002, Singapura mendakwa jirannya itu membuat dakwaan negara itu sengaja melambatkan penyelesaian kes tuntutan Pedra Branca. Singapura mendakwa Malaysia secara palsu membuat tohmahan negara itu membina bangunan baru di pulau itu walaupun sebenarnya tidak ada sebarang bangunan baru dibina di sana sejak 10 tahun lalu.

Kedaulatan Pedra Branca tetap berada di tangan Singapura - itu status quo yang perlu dihormati Malaysia sehingga ICJ membuat keputusan memihak kepada Malaysia. Malah, ketika pertikaian kedaulatan Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan, apabila kapal perang Indonesia memasuki perairan kedua-dua pulau, Malaysia mendakwa pulau itu miliknya dan status quo itu perlu dihormati.

Bagaimanapun, Malaysia secara sengaja tidak menghormati status quo Pedra Branca apabila menceroboh perairan Singapura.

Pada 1989, Singapura mencadangkan tuntutan Malaysia ke atas kedaulatan itu dirujuk ke ICJ dan Malaysia bersetuju dengan cadangan itu pada 1994, dan melalui Perjanjian Khas tuntutan dirujuk kepada ICJ pada 1998.

Bagaimanapun, Singapura mendakwa Malaysia tidak mengambil serius untuk menandatangani serta ratifikasi perjanjian untuk memulakan proses mahkamah sehinggalah pada 2003.

Kini pertikaian kedua-dua negara itu akan diputuskan mahkamah, kedua-dua pihak perlu menghormati sebarang keputusan yang dibuat mahkamah. Apa yang lebih penting, kemelut yang menjadi seperti duri dalam daging sudah sampai ke penghujungnya.

Selepas ini pulau yang mempunyai keluasan sebenarnya sebesar sebuah padang bola akan dikenali sebagai Pulau Batu Putih atau Pedra Branca.

FAKTA:
Kronologi pertikaian Pulau Batu Putih, Middle Rock dan South Ledge


  • 1842: Pedagang Inggeris, James Horsburgh mengumpul dana bagi pembinaan rumah api di Pulau Batu Putih atas alasan untuk keselamatan kapal yang melalui perairan di situ.

  • 1844: Sultan Johor membenarkan membina Rumah Api Horsburgh.

  • Disember 1979: Malaysia membentangkan pemetaan wilayah negara yang turut memasukkan Pulau Batu Putih, Middle Rock dan South Ledge.

  • Februari 1980: Singapura menghantar protes membuat tuntutan ke atas Pulau Batu Putih.

  • Disember 1981: Perdana Menteri Malaysia dan Singapura bersetuju menyelesaikan pertikaian itu menerusi proses rundingan dua hala.

  • 1989: Singapura mahu membina menara radar di Pulau Batu Putih.

  • Julai 1989: Malaysia menghantar nota bantahan hasrat pembinaan menara berkenaan sebelum kerja pembinaan dimulakan tetapi Singapura meneruskannya.

  • 1992: Singapura mahu membina tapak pendaratan helikopter (helipad).

  • November 1991 dan Mei 1992: Malaysia menghantar dua nota bantahan berhubung pembinaan tapak berkenaan.

  • 1993: Rundingan dua hala bermula, tetapi gagal.

  • 1993: Singapura menuntut dua pulau berdekatan Batu Putih: Middle Rock dan South Ledge.

  • September 1994 : Perdana Menteri kedua-dua negara bersetuju membawa pertikaian ketiga-tiga pulau ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

  • 1995-1996: Rundingan mengenai peruntukan dalam membawa pertikaian terbabit ke ICJ

  • April 1998: Teks bagi perjanjian khas dipersetujui kedua-dua negara.

  • 2002: Tujuh tarikh dikemukakan Malaysia kepada Singapura bagi tujuan menandatangani perjanjian berkenaan, tetapi tidak dipersetujui republik itu.

  • Disember 2002: Pertikaian ini mendapat perhatian semula selepas keputusan ICJ ke atas hak kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan.

  • Disember 2002: Pasukan polis Marin Malaysia dihalau keluar dari perairan Pulau Batu Putih.

  • Januari 2003: Singapura mencadangkan Perjanjian Khas ditandatangani ketika mesyuarat Asean-Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Belgium tetapi Malaysia menolak lokasi itu kerana perlu dibuat dalam ruang lingkup kedua-dua negara.

  • 6 Februari 2003: Perjanjian Khas ditandatangani di Putrajaya.

    l24 Julai 2003: Malaysia dan Singapura mengemukakan Perjanjian Khas itu kepada ICJ.

  • 1 September 2003: Mahkamah menetapkan tempoh masa menyerahkan memorial dan memorial balas.

  • 3 Februari 2005: Mahkamah menetapkan tempoh masa untuk kedua-dua pihak mengemukakan jawapan balas.

  • 16 November 2006: Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan kes pada 6 November 2007.

  • 20 September 2007: Mahkamah memutuskan jadual perbicaraan bermula pada 6 November hingga 23 November 2007.
  • 0 comments: