BESUT 4 Nov. – Kementerian Pengajian Tinggi akan mengenal pasti beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara ini untuk dinaik taraf mencapai tahap dunia, kata Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed.
Menurutnya, usaha giat dan rapi sedang dilakukan menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Ogos lalu bagi mencapai matlamat tersebut.
Bagaimanapun katanya, kementerian berkenaan tidak menetapkan sebarang tempoh untuk tujuan itu kerana ia memerlukan masa yang agak lama dengan perancangan yang teliti bagi merealisasikan hasrat tersebut.
“Kementerian sebelum ini telah pun melancarkan pelan strategik yang menggariskan tujuh teras strategik antaranya menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperteguhkan penyelidikan dan inovasi serta mempergiat pengantarabangsaan.
“Menerusi pelan itu, kita berhasrat untuk menjadikan sebuah dua universiti tempatan bertaraf antarabangsa kerana pada masa ini tidak ada satupun daripada 17 IPTA negara ini yang mencapai tahap terbilang dan boleh dianggap bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perasmian mula kerja pembangunan pertama Universiti Darul Iman (UDM), Kampus Besut di Mukim Tembila di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh serta Pengerusi Lembaga Pengarah UDM, Datuk Mohd. Azlan Hashim.
Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan yang dikeluarkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kelmarin berkenaan Kajian Reputasi Akademik dan Hasil Penarafan IPTA (Ares) yang mendapati tidak ada satupun daripada 17 IPTA di negara ini yang mencapai taraf dunia.
Rumusan Ares yang dijalankan oleh agensi itu mendapati hanya Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencapai tahap cemerlang dengan lima bintang sekali gus menjadi universiti yang menduduki tangga teratas dari segi reputasi IPTA di negara ini.
Kajian itu dijalankan menerusi kaji selidik yang dilakukan sejak Mei 2005 melibatkan 242 IPTA, dua institut ASEAN, sembilan syarikat korporat dan 19 badan profesional.
Sementara itu, ditanya tidakkah Malaysia agak terlewat untuk menaik taraf universiti tempatan bertaraf dunia, beliau berkata: “Tidak boleh buat hari ini, esok menjadi... kita perlu masa dan yang penting perlu usaha gigih kerana banyak pembaharuan perlu dilakukan dengan rapi.”
Bagi memastikan universiti tempatan bertaraf gemilang pada masa depan, Mustapa menambah, beberapa langkah akan diambil termasuk memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada tenaga pengajar di IPTA mempunyai kelulusan minimum Doktor Falsafah (PhD).
Malah, menurut beliau, kementeriannya juga menyasarkan untuk menambah bilangan tenaga pengajar asing yang pada masa sekarang hanya mempunyai 4.5 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga pengajar di semua IPTA.
Selain itu, pensyarah-pensyarah tempatan yang kini mengajar di luar negara juga akan dikenal pasti dalam usaha untuk meminta mereka kembali mengajar di tanah air.
“Kita memang berminat untuk menambah bilangan pensyarah asing terutama dari Eropah, bagaimanapun masalah kewangan menjadi antara kekangan utama yang dihadapi ketika ini,” jelasnya.
Beliau memberitahu, kebanyakan pensyarah asing yang berada di negara ini berasal dari negara India, Pakistan, Asia Barat dan rantau Asia.
0 comments:
Post a Comment