Harry didakwa ketagih arak

LONDON: Putera Harry dilaporkan berdepan masalah ketagihan alkohol terutama selepas dilarang berkhidmat di Iraq apabila gambarnya yang disiarkan oleh akhbar Daily Mail menunjukkan putera itu tidak sekadar menghirup sebaliknya meneguk sebotol arak.

"Harry tidak menghirup minuman itu, dia terus meneguknya. Terdapat kebimbangan jika dia gagal mengawal tabiat itu, dia akan berdepan masalah ketagihan arak yang teruk," kata salah seorang rakannya.

Seorang lagi sumber yang rapat dengan kesihatan dan gaya hidup anggota diraja berkata, putera itu memerlukan bantuan segera.

Beberapa hari sebelum ini, dia dilihat berada di sebuah kelab malam di London dengan teman wanitanya, Chelsy Davy, dan sekumpulan rakan rapat.

Meja Harry dipenuhi botol arak dan dia turut terbabit dalam pergaduhan dalam keadaan mabuk dengan seorang pengunjung yang didakwa mengeluarkan kata-kata tidak senonoh kepada Davy.

"Saya akan bunuh dia, saya akan bunuh dia," putera itu dilaporkan menjerit ketika diiringi kembali ke meja oleh pengawal peribadinya.

Kumpulan itu meninggalkan kelab malam berkenaan pada jam 3.30 pagi waktu tempatan.

"Anak muda berusia 23 tahun itu, pewaris ketiga takhta Britain, baru-baru ini menghabiskan £1,567 (RM10,969) di kelab malam tanpa menyedari makna wang sebanyak itu kepada orang biasa," kata ibu seorang rakannya. – Agensi

0 comments: