Shahrizat berkata, kejadian itu tidak seharusnya berlaku jika masyarakat mengambil tahu keadaan sekeliling.

GOMBAK: Ibu bapa Preeshena Varshiny, 9, yang mayatnya dicampak dari tingkat dua Kondominium Casamila Tower, Batu Caves di sini, selepas dirogol dan diliwat Khamis lalu, kesal kerana meninggalkannya anaknya seorang diri di rumah dengan harapan tiada perkara buruk menimpanya.

Bapa kanak-kanak malang itu yang enggan namanya disiarkan berkata, Preeshena hanya dibiarkan berseorangan di rumah kurang tiga jam sehari, sebelum beliau pulang dari pejabatnya di Selayang, kira-kira jam 4 petang.

"Preeshena biasanya pulang dari sekolah jam 2 petang dan saya akan tiba di rumah kira-kira dua jam kemudian untuk menjemputnya ke rumah adik ipar saya di Kepong, di sini, bagi mengambil adiknya yang berusia setahun.

"Pada hari kejadian (Jumaat) lalu, saya sangat terkejut apabila diberitahu anak saya ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di bawah blok rumah kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Katanya, beliau sudah mengaturkan perjalanan pergi dan pulang Preeshena dari sekolah sebaik mungkin bagi memastikan keselamatannya sebelum tiba ke rumah, namun kesal kejadian itu berlaku dalam kawasan kondominium terbabit.

"Dia ke sekolah menaiki van sekolah dan pulang menaiki bas sekolah yang akan mengambil dan menghantarnya di depan pintu pagar kondominium ini," katanya sambil memberitahu keluarganya hanya meninggalkan Preeshena berseorangan sejak sebulan lalu selepas isterinya bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Bangsar.

Beliau yang bekerja dengan sebuah syarikat keselamatan, turut kesal kerana tidak sempat memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah itu yang dirancangnya bulan depan.

"Kalaulah saya lebih serius mengenai perkara itu dan melakukannya segera, kami pasti tahu apa berlaku kepada Preeshena," katanya sebak.

Mengulas sambutan Deepavali kali ini, beliau berkata, keadaan pasti tidak sama tanpa kehadiran Preeshena yang periang.

"Saya sudah membelikan Preeshena sepasang pakaian Punjabi minggu lalu dan dia sangat sukakannya. Kini, ia sudah tidak bermakna lagi," katanya yang akan meraikan Deepavali di rumah ibu bapanya di Kajang, Selangor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Mohd Abdullah, berkata polis masih belum membuat sebarang tangkapan berhubung kes itu.

"Kita menyiasat dari pelbagai sudut. Malah, kita juga sedang mengkaji CCTV kawasan itu," katanya.

0 comments: