Niat sebenar Presiden diragui rakyat

ISLAMABAD: Kalangan penduduk Pakistan meragui niat sebenar Presiden Pervez Musharraf mengenakan perintah darurat itu dan menyifatkannya taktik pemimpin itu memastikan sistem kehakiman negara itu di bawah cengkamannya serta memastikan kemenangannya dalam pilihan raya Presiden Oktober lalu terus kekal.

"Musharraf berbuat demikian kerana yakin Mahkamah Agung akan membatalkan kemenangannya itu," kata penduduk Islamabad, Asif Hussain.

"Beliau mahu terus berkuasa, biar apa pun caranya."

Musharraf sebelum ini memberi alasan pemberontakan kumpulan militan dan campur tangan mahkamah dalam pentadbiran kerajaan, sebagai punca perintah darurat itu dilaksanakan.

Mahkamah Agung dijadual membuat keputusan seawal hari ini, berhubung kesahihan kemenangan Musharraf berikutan bantahan pembangkang yang mendakwa kedudukannya tidak sah kerana bertanding ketika masih bergelar Panglima Tentera.

�Musharraf tidak mahu menunggu keputusan Mahkamah Agung kerana beliau sudah pun tahu nasibnya itu,� kata ahli perniagaan, Bashir Ahmed.

Tidak kurang yang mempertikaikan tindakan Musharraf mendakwa perintah darurat itu perlu bagi menghapuskan ancaman serangan Al-Qaeda dan Taliban di utara negara itu.

"Tindakannya itu hanya memburukkan lagi keadaan di kawasan berkenaan," kata Nasir Butt, peniaga di Lahore � ibu kota wilayah Punjab yang didiami 7 juta penduduk.

"Musharraf tidak akan dapat mematahkan kekacauan dan mewujudkan keamanan di kawasan bergolak seperti Waziristan. Malah, kita bimbang kemungkinan ia boleh meningkatkan lagi serangan bom dan bunuh diri."

Sementara itu, anggota polis dan separa tentera meneruskan sekatan ke kawasan utama kerajaan dan kemudahan penting di Islamabad berikutan undang-undang tentera yang dikuatkuasakan sejak malam kelmarin.

Jalan raya utama ke Parlimen, Istana Presiden dan Mahkamah Agung ditutup dan dikawal ketat anggota keselamatan. Operasi perniagaan berjalan seperti biasa, tetapi keadaan lalu lintas dan pasar utama sebaliknya lengang.

Ia disebabkan rakyat lebih berminat menghabiskan masa melihat berita di kaca televisyen dan akhbar bagi mendapatkan perkembangan terbaru. � AFP

0 comments: