Sah Preeshena mangsa rogol

Oleh Khairul Azran Hussin


Preeshena Varshiny.

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Polis hari ini mengesahkan kanak-kanak malang, Preeshena Varshiny, 9, dirogol dan diliwat sebelum dicampak hingga menemui maut dari tingkat dua sebuah kondominium di Jalan Bukit Idaman, Batu Caves dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Mohd. Abdullah berkata, laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan koyakan pada kemaluan dan dubur mangsa.

“Polis memandang serius kejadian tersebut kerana ia melibatkan seorang kanak-kanak dan gerakan sedang dijalankan bagi mengesan suspek.

“Kes ini yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut diubah untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas didapati mempunyai unsur bunuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mangsa yang merupakan murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan St. Mary, Selayang ditemui mati dalam longkang di kawasan perumahan terbabit kira-kira pukul 4 petang.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berpakaian baju T dan berseluar pendek getah tetapi tidak memakai seluar dalam.

Pada mulanya, polis mengklasifikasikan mangsa mati mengejut ekoran dipercayai terjatuh dari bangunan tetapi laporan bedah siasat menunjukkan kematian mangsa mempunyai unsur jenayah.

Mohd. menambah, polis turut menyiasat kemungkinan mangsa dibunuh di tingkat dua sebelum dicampak dari situ kerana rumah mangsa terletak di tingkat sembilan.

“Setakat ini polis belum membuat sebarang tangkapan dan kita akan menyiasat dari pelbagai sudut bagaimana mangsa boleh berada di tingkat dua sebelum dicampak,” katanya.

Sementara itu, keluarga mangsa ketika ditemui di rumahnya berkata, mereka tidak menyangka kejadian yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, sebelum ini turut menimpa keluarganya.

Bapa mangsa yang berusia 40 tahun dan enggan dikenali berkata, sejak kejadian ngeri menimpa Nurin, anak kedua daripada tiga beradik itu sering diingatkan agar lebih berhati-hati terutamanya dengan orang yang tidak dikenali.

‘‘Sejak berita mengenai pembunuhan kejam terhadap Nurin disiarkan di media, saya telah mengajar Prisi (Preeshena) cara-cara untuk melepaskan diri seperti menjerit, melawan, menolak dan gigit penjenayah,’’ katanya.

Beliau memberitahu, sehari sebelum kejadian itu, anaknya yang tinggal bersendirian di rumah ada mengadu berhubung tindakan seseorang mengetuk pintu rumah mereka dengan kuat sehingga bergegar selama setengah jam tanpa suara walaupun telah ditanya.

“Ketika itu, anak saya ada menelefon saya dan memberitahu mengenai kejadian itu dan saya menganggap ia perkara biasa dan ada budak-budak nakal yang mengusiknya.

“Saya tak sangka pula apa yang menimpa Nurin telah menimpa keluarga saya ketika anak saya berada seorang diri di rumah dan dalam kawasan kondominium yang saya berasa kawalan keselamatannya terjamin,” katanya yang telah menetap di kondominium itu sejak lebih dua tahun lalu.

Menjawab satu soalan, katanya, ketika diganggu, abang Preeshena yang berusia 13 tahun berada di sekolah manakala adik bongsunya berusia setahun dijaga oleh bapa saudara mereka di Kepong.

Jelasnya, apabila pulang dari sekolah antara pukul 1.30 dan 2 petang, mangsa biasanya akan duduk di rumah sendirian sementara menunggu dia dan isteri pulang dari kerja.

“Prisi tinggal sendirian di rumah sejak sebulan lalu selepas isteri saya mendapat kerja. Saya tidak sangka tragedi ini boleh menimpa keluarga kami,’’ katanya kesal.

Lebih memilukan, menurut bapa mangsa, anaknya sempat makan hot dog yang ditinggalkan ibunya sebelum ditemui mati.

“Bagaimanapun, air Milo yang menjadi minuman kegemaran anak saya tidak diusik,” katanya.

0 comments: