KL yakin Islamabad atasi krisis

KUALA LUMPUR: Malaysia yakin keamanan akan segera dipulihkan di Pakistan selepas perintah darurat diumumkan di negara itu kelmarin bagi mengatasi pergolakan yang tercetus sehingga mengorbankan ramai nyawa penduduknya.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata Pakistan adalah sebuah negara yang penting dalam konteks geopolitik di rantau Asia Selatan dan dunia.

"Kita faham tindakan yang dilakukan Pakistan, tapi pada masa sama kita harap Pakistan dapat memulihkan segera keyakinan rantau dan antarabangsa untuk membawa demokrasi secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk Memahami Isu-Isu Semasa - Perkembangan Siasah Dalam Negara; Keadaan Global dan Peranan Komunikasi Membentuk Bangsa Yang Inovatif pada Kursus Kepemimpinan Kelab Umno Luar Negara, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.


Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berharap, Pakistan akan menjalankan proses pilihan raya seperti yang dijanjikan pada Januari depan apabila keadaan kembali terkawal dan keselamatan negara itu terjamin.

Kelmarin, Presiden Pervez Musharraf mengisytiharkan darurat di Pakistan dan mendakwa campur tangan hakim dalam urusan kerajaan dan militan Islam memberikan ancaman kepada negara itu.

Tujuh Hakim Mahkamah Agung segera menolak perintah itu yang menggantung Perlembagaan sedia ada tetapi kerajaan negara itu menolak keputusan berkenaan.


Kerajaan Pakistan juga menghalang siaran berita stesen televisyen persendirian di beberapa bandar raya dan perkhidmatan telefon di Islamabad dipotong.

Sementara itu di NEW DELHI Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ahmad Shahizan Abd Samad mengingatkan rakyat Malaysia di Pakistan supaya berhati-hati dan tidak panik berikutan perisytiharan undang-undang darurat oleh Presiden Pervez Musharraf, kelmarin.

Beliau berkata, pejabatnya sentiasa memantau keadaan berikutan undang-undang darurat yang dikenakan lewat petang kelmarin.

"Kita mengambil berat dan berhati-hati. Setakat ini Islamabad masih tenang dan tiada perintah berkurung," katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

"Saya beritahu rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan jika keadaan bertambah buruk kita mungkin meninggalkan tempat ini untuk ke tempat lebih selamat, tetapi setakat ini tiada amaran," katanya.

Kira-kira 200 rakyat Malaysia, termasuk diplomat, penuntut dan pegawai tinggal di Pakistan.

Konsul Kehormat Malaysia di Lahore, Imtiaz Rafi Butt, berkata keadaan normal di sini dan kehidupan seharian bagi kebanyakan rakyat Pakistan seperti Ahad lain.

"Rakyat Malaysia selamat di Pakistan kerana undang-undang darurat dan tentera yang dikenakan adalah perkara biasa di sini, tidak banyak yang berlaku kecuali perubahan dalam sistem perundangan.

"Darurat sudah dijangka dan tidak memeranjatkan. Pakistan terpaksa mengambil tindakan luar biasa untuk mencapai matlamatnya, iaitu membanteras keganasan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, saluran kabel televisyen sudah ditutup sejak pengumuman kelmarin kecuali Stesen Televisyen Pakistan (PTV).

"Ini sesuatu yang memeranjatkan kerana tiada saluran televisyen dibenarkan menyiarkan program sepanjang malam," kata beliau sambil menambah keadaan politik di Pakistan boleh meruncing pada masa depan.

Menurut Portal Keganasan Asia Selatan, 2,151 orang terbunuh setakat bulan lalu dan jumlah itu meningkat berikutan kejadian pembunuhan beramai-ramai pada 18 Oktober lalu yang mengorbankan 140 orang lagi pada hari bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto tiba di Pakistan selepas lapan tahun dalam buangan di London, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Hampir separuh daripada jumlah mangsa yang terbunuh di negara itu adalah orang awam. � Bernama

0 comments: