Isytihar darurat sekat krisis dalaman – Pervez

ISLAMABAD 4 Nov. – Presiden Pervez Musharraf berkata, beliau mengisytiharkan perintah darurat di Pakistan sebagai satu daripada usaha untuk menamatkan krisis pemerintahannya dengan pihak kehakiman, militan dan pembangkang.

Pervez mendakwa beliau membuat keputusan tersebut semalam sebagai tindak balas terhadap peningkatan kegiatan pelampau dan dakwaan campur tangan kehakiman yang melumpuhkan kerajaan.

“Saya khuatir jika tidak mengambil tindakan tepat pada masanya, ia akan mengancam kedaulatan Pakistan.

“Saya tidak boleh membenarkan negara ini ‘membunuh diri’,” ujarnya ketika berucap menerusi televisyen tengah malam tadi selepas membubarkan Mahkamah Agung dan menangkap para peguam yang menentangnya.

Desas-desus mengenai tindakan mengisytiharkan perintah darurat tercetus beberapa hari lalu berikutan kebimbangan Pervez terhadap keputusan Mahkamah Agung Pakistan yang mungkin tidak memihak kepadanya berhubung pemilihannya sebagai Presiden pada 6 Oktober lalu.

Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu rapat Pervez pula hanya menyatakan tindakan Pervez itu ‘sangat mengecewakan’.

Tindakan pemerintah tentera itu juga meruntuhkan harapan AS yang mahu melihat pilihan raya Parlimen diadakan pada Januari depan bagi memberi laluan kepada pembentukan pemerintahan awam.

Di Islamabad, kenderaan pengangkut perisai dan trak tentera meronda di jalan-jalan raya dengan sekatan jalan raya dan penghadang dipasang di jalan-jalan raya utama.

– Reuters

0 comments: