Thu | Oct 04, 07 | 4:20:37 pm MYT
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Hrkh) - Ketidak berkesanan tugas polis serta hilang kredibiliti dan kewibawaan menyebabkan penjenayah semakin berani serta tidak takut dengan pasukan keselamatan hari ini.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli sewaktu mengulas kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengakui kadar jenayah di seluruh negara menunjukkan aliran meningkat.
Jelas Dr Hatta semasa dihubungi Harakahdaily, bagi meningkatkan kredibiliti dan integriti pasukan polis ini, penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis(IPCM) adalah perlu agar pemantauan prestasi anggota polis yang menghadapi masalah seperti rasuah dapat dijalankan.
Selain itu, mengenai penambahan anggota polis yang dijangka dipertingkatkan dengan pengambilan 60,000 anggota baru dalam tempoh lima tahun ini sebagaimana yang dinyatakan dalam Bajet 2008, jelas Hatta, jika anggota polis menumpukan kepada tanggung jawab mereka, jumlah anggota polis yang ada pada hari ini juga sudah mencukupi.
"Kita tidak menolak penambahan anggota polis jika ada keperluan tetapi jika jumlah rasuah juga berleluasa tidak guna kerana apa yang penting ialah pembinaan sahsiah, peribadi serta tanggung jawab polis.
"Mereka juga tidak seharusnya berada di tempat yang tidak sepatutnya dan diperalatkan oleh pihak kerajaan untuk menekan parti politik pembangkang seperti tragedi yang berlaku di Batu Buruk,"jelasnya.
Katanya lagi, jika keanggotaan polis ditambah, tetapi masalah rasuah tidak juga dapat diselesaikan, anggota polis yang baru tamat latihan juga tidak dapat lari daripada masalah rasuah yang mana masalah jenayah yang berlaku tetap tidak dapat diselesaikan," katanya. - mks.
0 comments:
Post a Comment