Tambang baru masih tak dapat ubah tabiat lama pemandu teksi
Oleh Jami'ah Shukri
BAGI pengguna yang tidak menyedari akan kenaikan tambang pengangkutan awam terutama teksi, pasti akan terkejut apabila membuat bayaran lebih tinggi daripada biasa. Ini disebabkan kadar tambang baru perkhidmatan teksi sudah dinaikkan daripada RM2 kepada RM3 berkuat kuasa, 1 Ogos lalu.
Tuntutan kenaikan kadar tambang selama ini membelenggu 32,932 pemilik teksi sejak 2005 sudah dipenuhi, tetapi rungutan orang ramai tetap kedengaran.
Pemilik teksi juga boleh tarik nafas lega dan masa tidak terbuang di jalan raya ketika terperangkap dengan kesesakan khususnya pada waktu puncak kerana dibayar semula dengan kenaikan tambang RM3 itu bagi tiga minit pertama dan setiap 10 sen bagi setiap 21 saat berikutnya.
Malang, selepas lebih setengah bulan kenaikan harga tambang itu, rungutan terhadap perkhidmatan teksi masih pada takuk lama dan tidak seiring mutu diberikan.
Pemandangan di beberapa lokasi utama di Kuala Lumpur seperti di KL Sentral, perkhidmatan teksi seakan tidak berubah. Pengguna masih berbaris panjang menunggu teksi khususnya waktu puncak.
Cuma, baru-baru ini, ada keluhan pemandu teksi yang beratur panjang menukar meter baru di lapan syarikat diiktiraf dan disahkan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) berikutan kesesakan di pusat itu sehingga ada yang menunggu lama.
Namun, masalah itu sudah ditangani segera Puspakom yang membuka pusat mereka mulai jam 6 petang sehingga 11.30 malam.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Halimah Mohamed Sadique, menjelaskan sejak tambang baru dikuat kuasa, 13,169 daripada 30,000 pemandu teksi sudah membuat kalibrasi skala meter masing-masing bagi membolehkan mereka menggunakan kadar baru itu.
Beliau berkata, pemandu teksi juga diberi tempoh 31 Disember ini untuk mengubah suai meter mereka bagi mengelak tindakan tegas jika gagal mematuhinya.
Halimah juga memberi jaminan mutu perkhidmatan teksi akan bertambah baik dengan kenaikan tambang berkenaan.
Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah, berkata kenaikan memang perlu dan sebagai usaha mengubah perspektif buruk masyarakat terhadap pelbagai isu membabitkan perkhidmatan teksi.
Katanya, kenaikan berkenaan dianggap bonus kepada pemandu teksi untuk mengubah imej buruk selain menganggap kenaikan itu berpatutan.
Selepas 13 tahun menunggu, akhirnya kerajaan mendengar keluhan pemilik dan pengusaha teksi, iaitu menurunkan waktu menunggu daripada 45 saat kepada 21 saat.
"Jika sebelum ini, pemandu hanya mendapat RM8 sejam pada waktu kesesakan jalan raya kini meningkat RM17.10 sejam," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengusaha dan pemilik teksi segera mengubahsuai meter serta mengesahkan kepada Puspakom.
Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Sadullah, berkata kenaikan tambang itu perlu ada keseimbangannya dari segi peningkatan mutu perkhidmatan dan etika mereka.
Pada masa sama, kajian juga sudah pasti dilakukan aras mana sesuai untuk ditingkatkan supaya pengguna juga tidak berasa beban dengan kadar baru itu.
"Saya berpendapat, situasi menang-menang perlu wujud dengan kenaikan tambang berkenaan, iaitu pengguna berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan, manakala pemandu pula dapat mengatasi masalah kos penyelenggaraan semakin meningkat," katanya.
"Tetapi, saya lihat, kebanyakan teksi juga sudah berubah dari segi tingkah laku dan etika mereka yang dilihat semakin baik dengan pendekatan lebih sistematik diperkenalkan kerajaan," katanya.
0 comments:
Post a Comment