Bantu negara atasi pandemik selesema babi, pakailah penutup mulut
PANDEMIK Influenza A (H1N1) seperti tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam tempoh terdekat ini. Sejak tercetusnya penyebaran virus selesema babi ini, kerajaan telah pun mengambil pelbagai pendekatan.
Semuanya dalam usaha membendung wabak ini daripada terus menjadi ancaman kepada rakyat.
Terbaru kerajaan mengumumkan penubuhan pasukan khas untuk menyiasat jumlah kematian yang dikatakan begitu tinggi akibat penularan virus ini sehingga "mencetuskan panik di kalangan rakyat".
Bagaimanapun, jika diperhatikan keadaan sebenar dalam masyarakat ketika ini, istilah "panik" itu mungkin kurang tepat.
Berdasarkan situasi semasa serta 'penerimaan' ramai, tiada langsung tanda-tanda penularan wabak itu menimbulkan kebimbangan melampau kepada masyarakat.
Malah lebih ramai yang bimbang dengan masalah kekurangan gula berbanding ketiadaan topeng mulut.
Jika dilihat daripada keadaan ini, mungkin boleh dikatakan "kebimbangan atau panik" hanya berlegar di pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan sahaja.
Kelompok inilah yang kelihatan bersungguh-sungguh untuk menangani penularan H1N1. Sedangkan tiada tanda-tanda kegusaran yang serius di kalangan majoriti ahli masyarakat kita.
Semua orang kelihatan bebas melakukan rutin harian tanpa mengendahkan rayuan kerajaan. Sekurang-kurangnya berhubung isu pemakaian topeng mulut.
Keengganan rakyat memenuhi permintaan kerajaan itu jelas jika dilihat di tempat-tempat tumpuan ramai. Contoh terbaik dalam bulan puasa ini ialah di pasar-pasar Ramadan.
Dalam ribuan orang yang mengunjungi pasar-pasar berkenaan pada satu-satu masa mungkin tidak sampai 10 orang yang memakai topeng mulut.
Pastinya dalam ramai-ramai itu mungkin ada yang 'berperanan' sebagai penyebar virus H1N1 secara tidak disedari.
Paling malang jika dalam kumpulan orang ramai itu terdapat juga pengunjung yang merupakan penghidap penyakit kronik. Keadaan itu sudah pasti akan mendedahkan mereka kepada ancaman H1N1.
Mereka sepatutnya sedar mereka berdepan dengan risiko tetapi apa yang dilakukan? Tidak ada. Seperti biasa, ramai yang bersifat tidak ambil peduli. Ramai yang beranggapan mereka kebal daripada ancaman H1N1 ini.
Maka rayuan kerajaan agar orang ramai memakai topeng mulut tidak langsung diberi perhatian. Kerajaan hanya akan mendapat 'perhatian' apabila jumlah dijangkiti H1N1 meningkat dengan mendadak.
Ketika itu seperti biasa, ramai yang akan menuding jari menyalahkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan.
Malah jangan terkejut jika isu H1N1 juga akan menjadi modal politik di kalangan pemimpin pembangkang untuk menghentam kerajaan. Kononnya kerajaan tidak cekap atau tidak bertindak apa-apa.
Hakikatnya ketika ini, parti-parti pembangkang yang menggelar diri mereka 'pembela rakyat' itu tidak pun tampil dengan kempen menggesa pengikut menjaga kebersihan diri dan memakai topeng mulut.
Mungkin mereka beranggapan jika melaksanakan kempen itu, mereka akan dilihat seperti akur kepada kerajaan.
Jadi, lebih baik berdiam diri dan menunggu keadaan menjadi semakin buruk. Ketika itu kerajaan akan "dipukul habis-habisan".
Kepada rakyat yang lebih bersifat rasional, sampai bilakah kita akan terus bersikap tunggu dan lihat. Sampai bila kita hanya akan tengadah apabila sudah terhantuk?
0 comments:
Post a Comment