Minda Pengarang: Pengedaran gula ikut sistem zon pastikan dipatuhi

Minda Pengarang: Pengedaran gula ikut sistem zon pastikan dipatuhi

KALI terakhir masalah kekurangan gula berlaku ialah pada 2006 berikutan perbuatan menyorok bekalan, gara-gara khabar angin ketika itu harga gula akan dinaikkan. Selepas tiga tahun dan menjelang Ramadan dan Aidilfitri, tiba-tiba stok bekalan gula tiada di pasaran. Anehnya, empat pengilang utama gula menghasilkan pengeluaran yang mencukupi. Walaupun pengeluaran gula dilakukan seperti biasa, permintaan terhadap gula meningkat mendadak. Pembelian antara Januari hingga Jun lalu melebihi jangkaan pihak industri apabila meningkat 70,000 tan berbanding tempoh sama tahun lalu. Walaupun permintaan meningkat, pengilang dapat mengeluarkan bekalan bagi menampung keperluan. Namun, siasatan mendapati gula itu diseludup ke negara jiran. Di negara ini harga runcit gula ialah RM1.45 sekilogram berbanding RM2.30 sekilogram di Thailand. Masalah kekurangan gula akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang menyorok gula semakin ketara. Bagi tempoh 1 Julai sehingga minggu lalu, sebanyak 38 kes menyorok gula dikesan di seluruh negara iaitu 15 di Kelantan, enam di Selangor, empat di Perlis, dua di Sarawak dan masing-masing satu di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Sabah. Kerajaan perlu membuat pemantauan rapi bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dalam proses rangkaian pengedaran bekalan membabitkan pengilang, pemborong dan peruncit. Peniaga mengambil kesempatan dengan menyorok gula agar harga keperluan ini melambung tinggi di pasaran. Bagi umat Islam, mereka sepatutnya tahu bahawa Rasulullah SAW bersabda 'siapa yang menyorok barang keperluan, dia seorang yang berbuat maksiat.' (Riwayat Muslim).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu memantau pelanggan individu dan kelompok kecil tertentu yang membeli gula dalam kuantiti luar biasa, yang disyaki ada kaitan dengan krisis kekurangan bekalan di pasaran. Krisis bekalan masih berterusan di kawasan tertentu, walaupun pengeluaran gula sudah ditingkatkan sejak dua minggu lalu, dengan pemantauan rapi terhadap pengilang dan pemborong. Pengilang sudah menambah bekalan dalam pasaran sejak dua minggu lalu selaras arahan supaya pengeluaran ditingkatkan sebanyak 20 peratus bulan ini menjadikannya 120,000 tan berbanding 100,000 tan sebelum ini. Walaupun pelbagai cara dilakukan untuk membendung masalah kekurangan bekalan, kita berharap tindakan kerajaan menstruktur semula pengedaran gula di seluruh negara mengikut sistem zon, akan memberi kesan kepada bekalan gula. Walaupun gula tidak baik untuk kesihatan dan tidak digalakkan menggunakannya secara berlebihan, kekurangan bekalan juga menyebabkan rakyat panik. Semua pihak sama ada pengguna, peruncit, pemborong dan sebagainya perlu sama-sama memastikan bekalan gula sentiasa mencukupi di pasaran.

0 comments: