BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
KETIKA Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pimpinan Pas-PKR mendesak supaya pilihan raya kecil diadakan di Kota Siputeh, tiba-tiba wakil rakyat PKR pula meninggalkan parti itu.
Ia satu tamparan kepada kerajaan negeri yang menaruh harapan untuk ‘mengambil alih’ kerusi DUN yang kini diwakili Barisan Nasional.
Namun hasrat Pas-PKR nampaknya tidak kesampaian apabila Mohd. Radzhi Salleh hanya keluar PKR. Beliau tidak meletak jawatan sebagai ADUN Lunas, malahan mahu mengekalkan kerusi Exco Kerajaan Negeri yang disandangnya.
Awang menjangkakan, Mohd. Radzhi juga akan didesak meletak jawatan seperti yang berlaku kepada wakil rakyat lain.
Jika ini berlaku, jelaslah pihak berkenaan mahu memastikan siri pilihan raya kecil diteruskan.
Tidak dapat dibayangkan apa akan terjadi jika selepas Lunas, ada lagi wakil rakyat PKR meninggalkan parti itu dan setiap kali mereka mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas, akan ada desakan supaya pilihan raya kecil diadakan.
Awang percaya tindakan wakil rakyat meninggalkan parti bukan kerana desakan atau paksaan mana- mana pihak. Sebaliknya ia didorong perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan parti. Mereka hilang keyakinan dengan perjuangan pemimpin. Pokok pangkalnya, mereka yang meninggalkan PKR tidak mahu lagi terpedaya. Maka adalah tidak wajar menyalahkan orang yang sudah sedar kesilapan lalu.
Awang – Insaf.
0 comments:
Post a Comment