Selain dimakan begitu sahaja, kurma juga boleh dipelbagaikan dalam masakan mengikut kreativiti masing-masing. Bagaimana caranya?
DI tanah Arab, buah kurma merupakan makanan ruji bagi penduduk di sana. Malah, setiap rumah sentiasa menyimpan buah kurma sama ada segar mahupun kering untuk santapan seisi keluarga pada bila-bila masa.
Bahkan, jika tetamu datang ke rumah, kurma adalah hidangan pertama yang akan dijamu sebelum disusuli dengan menu utama seperti kambing panggang, roti Arab dan sebagainya.
Menurut Safaa Salleh, selaku Pengurus Kurma Royal yang berketurunan Arab, ayahnya berasal dari Yaman manakala ibunya pula orang Mesir. Katanya, rumah yang tidak mempunyai buah kurma dianggap sebagai miskin.
"Sehinggakan, kalau tuan rumah tidak menghidangkan kurma kepada tetamu, mereka tanpa segan silu akan meminta buah tersebut untuk dinikmati seulas dua," ujar Safaa.
Di Malaysia, selain dimakan begitu sahaja, buah kurma turut dijadikan sebagai bahan dalam sesuatu masakan berdasarkan kreativiti seseorang tukang masak.
Bagi Chef Eksekutif Palms Cafe di Hotel Palm Garden, Putrajaya, Chef Zainuddin Abu Hassan, banyak menu boleh disediakan dengan campuran buah kurma.
"Apa yang penting, ia bergantung kepada daya kreativiti seseorang untuk mempelbagaikan menu dengan masakan sedia ada. Di samping itu, harus diingat bahawa dengan mencampurkan buah kurma, ia akan menjadikan sesuatu masakan manis.
"Justeru, kita harus bijak menyesuaikan rasa makanan tersebut agar tidak hilang kelazatannya," ujar Chef Zainuddin yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang kulinari.
Lebih lapan jenis menu termasuk pencuci mulut dan kek serta roti disediakan oleh beliau bersama pembantunya, Chef Pastri, Chef Yaakub Abdullah dan Chef Ridwan Mansor.
Antaranya termasuklah kaki kambing bakar dengan kurma, rendang rusa kurma dengan gaya masakan Cina, nasi minyak kurma, ayam masak merah kurma, pai ayam dengan kurma, pastri lapis ikan dengan kurma, kek kurma, jus kurma dan juga roti kurma.
Malah, sempena bulan puasa ini juga, Palms Cafe tidak ketinggalan menyediakan beberapa menu berasaskan buah kurma untuk dinikmati para pengunjung yang datang berbuka di sini.
"Salah satu hidangan wajib adalah jus kurma dan diselang-selikan dengan menu lain seperti yang disebutkan tadi," tambah beliau.
Apakah jenis kurma yang digunakan? "Biasanya, saya gunakan kurma jenis rotab yang agak lembut isinya berbanding kurma lain. Selain itu, saya juga sering menggunakan kurma dari Tunisia,"beritahunya.
Ada dua cara untuk mencampurkan kurma di dalam masakan. Pertama, kurma yang dikisar atau dihancurkan dan kedua dimasukkan buah kurma begitu sahaja.
0 comments:
Post a Comment