20,290 penentu hayat Pas di Pulau Pinang

20,290 penentu hayat Pas di Pulau Pinang

Oleh Fazli Abdullah

Pengundi Permatang Pasir perlu berfikiran waras dakwaan jaminan masuk syurga, neraka

ESOK seramai 20,290 pemilih berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir akan membuat pilihan siapakah wakil rakyat baru mereka bagi menggantikan Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman.

Mungkinkah majoriti pengundi akan terus memberi mandat kepada Pas untuk mewakili mereka dengan memilih Mohd Salleh Man, 52, bagi menyambung khidmat Mohd Hamdan? Atau, mungkinkah calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, 38, berjaya merampas semula kerusi dikuasai Pas sejak 1999 dengan menundukkan Mohd Salleh.

Jika BN menang, Pas bukan saja 'berkubur' di Pulau Pinang, malah Mohd Salleh, yang juga Pesuruhjaya Pas negeri akan mencipta rekod sendiri � tujuh kali berturut-turut kecundang di gelanggang.

Tetapi, kemenangan majoriti yang besar iaitu 5,433 undi ke atas calon BN pada pilihan raya lalu, membayangkan Pas tidak berdepan laluan sukar untuk mempertahankan kerusi tunggal parti itu di Pulau Pinang.

Malah, jika majoriti undi diperoleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Ogos tahun lalu dan DUN Penanti pada Mei lalu dijadikan perbandingan, Pas mungkin dapat melebarkan lagi perbezaan undi.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir adalah yang ketiga selepas Parlimen Permatang Pauh dan DUN Penanti. DUN Permatang Pasir dan Penanti terletak di dalam Parlimen Permatang Pauh.

Bagi Pas, kekalahan bukan satu pilihan kerana Permatang Pasir adalah satu-satunya kerusi yang mereka miliki di Pulau Pinang daripada lima kerusi ditandingi pada pilihan raya lalu. Sebab itulah Pas bersama rakan dalam Pakatan Rakyat tidak mengambil mudah pada pilihan raya kecil ini dengan berhabis-habisan berkempen untuk mempertahankan kerusi itu.

Pakatan menggunakan apa saja senjata bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka, hatta Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, membuat kenyataan kononnya Islam diamalkan Umno tidak boleh membawa penyokong parti itu ke syurga.

Kenyataan itu amat besar kesannya kepada pengundi di Permatang Pasir kerana 72.36 peratus daripada pengundi adalah Melayu. Oleh kerana soal syurga dan neraka adalah perkara pokok bagi orang Islam, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu memainkan peranan besar untuk menarik sokongan pengundi memilih Mohd Salleh.

Tetapi, pengundi perlu berfikiran waras dan bertanya diri adakah dengan hanya pangkah Pas pada pilihan raya kecil kali ini sudah memberi jaminan untuk masuk syurga?

Sepanjang tempoh berkempen sejak hari penamaan calon 17 Ogos lalu, ceramah PKR juga lebih banyak memberi fokus kepada perkara membangkitkan rasa kebencian rakyat kepada kerajaan, bukannya membentangkan agenda perjuangan untuk membantu penduduk Permatang Pasir.

Mereka meniup semangat kebencian kepada kerajaan, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pemimpin kerajaan serta mendedahkan peribadi calon BN, selain menghentam media arus perdana.

Tindakan sedemikian semata-mata kerana Pakatan Rakyat tiada hala tuju untuk membawa sesuatu yang lebih bermakna kepada penduduk Permatang Pasir kerana mereka tidak akan mampu melakukannya.

Perbuatan menyemai perasaan benci kepada kerajaan itu semata-mata untuk menjadi popular dan strategi jangka panjang bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, BN yang semakin matang selepas 52 tahun memerintah negara, tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang. Pemimpin dan penceramah BN tidak menyentuh keperibadian dan mendedahkan keaiban calon Pas.

Sebaliknya, memberi harapan baru kepada penduduk bahawa nasib mereka yang terbiar sejak 10 tahun lalu kerana mempunyai wakil rakyat Pas, akan dibela. Permatang Pasir bakal dijadikan anak emas Kerajaan Pusat.

Bermakna, Permatang Pasir akan mendapat nikmat pembangunan seperti di tempat lain. Pembangunan dijanjikan bukan saja dalam bentuk fizikal, malah juga pembangunan modal insan.

Walaupun Pulau Pinang diperintah kerajaan Pakatan Rakyat ia bukan satu masalah untuk melakukan pembangunan di kawasan itu kerana Kerajaan Pusat melalui kementerian dan agensinya boleh melaksanakannya.

Bagaimanapun, Pakatan Rakyat menyatakan penduduk Permatang Pasir tidak memerlukan pembangunan kerana mereka sudah selesa dengan apa dimiliki sekarang, lalu meminta rakyat tidak perlu terpengaruh dengan janji BN.

Mungkin golongan berumur 60 tahun ke atas mewakili kira-kira 20 peratus daripada pengundi, tidak lagi memerlukan pembangunan, tetapi bagaimana pula dengan pengundi berusia antara 21 hingga 60 tahun. Bagaimana pula dengan generasi yang masih di alam persekolahan.

Adakah kumpulan ini juga tidak mahu pembangunan? Adakah mereka sanggup melihat pembangunan negara berlalu begitu saja tanpa memberi apa-apa makna kepada mereka. Adakah mereka tidak berasa irihati dengan pembangunan di tempat lain dan terus berada dalam keadaan terpinggir?

Insan normal tidak akan menolak pembangunan dan mereka tidak akan sanggup melihat anak cucunya hidup seperti menumpang di tanah air sendiri. Malah, al-Quran juga menyatakan kemiskinan membawa kepada kekufuran.

Justeru, sudah sampai masanya pengundi Permatang Pasir berhijrah untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dan bermakna dalam kehidupan. Hijrah ke arah kebaikan adalah dituntut dalam Islam.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Pulau Pinang

0 comments: