Fungsi bioteknologi menangani wabak H1N1
Oleh M Firdaus Raih
rencanabh@bharian.com.my
Pemahaman Tamiflu, antiviral penting bagi proses pemulihan daripada jangkitan
KEBELAKANGAN ini, perkataan seperti Tamiflu, antiviral, antibiotik dan vaksin sudah menjadi sebutan dalam perbualan harian kita. Namun, masih ada sedikit sebanyak kekeliruan mengenai apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan perkataan ini. Tambahan pula, masih juga timbul kekeliruan mengenai ujian bagi mengesan jangkitan Influenza A (H1N1).
Pemahaman mengenai perkara ini penting bagi membolehkan kita membuat keputusan berasaskan maklumat untuk membantu pihak bertanggungjawab ke atas kesihatan awam dan juga untuk kebaikan umumnya. Oleh itu, rencana ini akan cuba mengupas perkataan dan isu terbabit serta peranan dimainkan oleh bioteknologi dalam menangani wabak penyakit di zaman ini.
Semoga maklumat ini, terutama sekali dengan latar belakang penularan penyakit H1N1 yang dihadapi, boleh dijadikan panduan. Dua perkataan yang mungkin sudah lama dikenali sejak sebelum wabak H1N1 lagi ialah antibiotik dan juga vaksin.
Antibiotik dikatakan sebagai bahan kimia yang secara khususnya boleh membasmi pertumbuhan bakteria dan penggunaannya dalam pembasmian mikroorganisma lain seperti kulat. Vaksin pula adalah satu campuran atau persediaan biologi digunakan untuk sistem pertahanan badan supaya dapat mengenali sesuatu bahan asing yang menceroboh masuk ke badan.
Antara bendasing yang dimaksudkan adalah mikroorganisma pembawa penyakit yang juga dikenali sebagai 'patogen' seperti bakteria dan juga virus. Ini bermakna antibiotik adalah sesuatu yang digunakan khusus untuk membasmi jangkitan bakteria dan tidak boleh digunakan terhadap jangkitan virus. Penyalahgunaan antibiotik mengakibatkan masalah kerintangan bakteria terhadap antibiotik.
Penyalahgunaan boleh timbul dalam beberapa keadaan. Situasi utama yang membabitkan populasi awam ialah pengambilan dos antibiotik yang tidak mencukupi. Keadaan sebegini boleh timbul apabila pesakit mendapati jangkitan yang mereka alami seperti batuk sudah pun hilang dan terus menghentikan pengambilan antibiotik yang diberikan.
Mungkin juga berlaku keadaan, pesakit mendapati mereka mendapat jangkitan dan oleh kerana masih ada antibiotik terdahulu yang tidak dihabiskan, maka pesakit itu mengambil inisiatif untuk mengubati diri sendiri dengan antibiotik terbabit.
Lama-kelamaan, bakteria yang tidak dibasmikan sepenuhnya akan bermutasi dan menjadi rintang terhadap antibiotik sedia ada. Kerintangan bakteria patogen terhadap antibiotik adalah satu masalah yang besar. Sekiranya bakteria yang dulunya dianggap kurang berbahaya menjadi rintang terhadap antibiotik, jangkitan bakteria itu tidak boleh lagi diubati dengan antibiotik sama. Maka antibiotik baru perlu ditemui atau dibangunkan.
Antibiotik secara amnya bertindak dengan merencat sesuatu sistem yang diperlukan untuk kemandirian bakteria. Sebagai contoh,
sekiranya sejenis bahan kimia dapat bertindak merencat sistem penghasilan protein bakteria, maka bakteria itu tidak dapat menghasilkan protein untuk terus hidup dan mengakibatkan kematian bakteria.
Bahan kimia yang bertindak sedemikian adalah antibiotik. Beberapa spesies atau jenis bakteria yang berlainan mungkin boleh dibasmi dengan satu jenis antibiotik sekiranya sistem yang terjejas oleh antibiotik pada bakteria berlainan itu mempunyai persamaan. Dengan kefahaman ini, antibiotik tidak boleh digunakan bagi menangani jangkitan virus seperti Influenza.
Bagi penyakit yang disebabkan virus, kebiasaannya, ubat antivirus yang khusus terhadap sesuatu virus, seperti Tamiflu, boleh digunakan. Tindakan ubatan antiviral berbeza daripada antibiotik. Antiviral lazimnya bertindak merencat penggandaan virus dan tidak bertindak membasmi atau membunuh virus seperti dilakukan oleh antibiotik terhadap bakteria.
Ini bermakna virus induk yang menjangkiti individu tidak dapat menghasilkan lebih banyak virus untuk meneruskan jangkitan terbabit. Dengan cara ini, sistem pertahanan (keimunan) semula jadi tubuh berpeluang untuk bertindak membantu memulihkan badan daripada jangkitan.
Pada zaman ini, bioteknologi berperanan penting dalam pencarian dan pembangunan pelbagai ubatan anti mikroorganisma seperti antibiotik dan antiviral dan penghasi-lan vaksin yang baru. Lazimnya, sa-saran bagi ubatan adalah protein.
Protein yang menjadi sasaran boleh terbabit dalam pelbagai fungsi penting untuk kehidupan bakteria atau penggandaan virus. Ilmu biologi molekul mempunyai peranan penting kerana penyelidikan dalam bidang ini banyak menyumbang pemahaman mengenai fungsi dan mekanisme tindakan sesuatu protein. Apabila sesuatu protein sasaran dikenal pasti dan dikaji mekanisme tindakannya, maka pemahaman yang timbul boleh diguna pakai bagi mencari jalan untuk merencatkan tindakan protein itu.
Vaksin pula terhasil apabila sesuatu bendasing mengaruhkan sistem pertahanan tubuh untuk mengenalinya sebagai suatu bendasing dan menghasilkan antibodi yang boleh menyekat bendasing berkenaan. Ada beberapa cara vaksin dihasilkan. Antaranya penghasilan vaksin menggu-na-kan mikroorganisma patogen yang dilemahkan atau dinyahaktifkan.
Selain itu, toksin yang dihasilkan bakteria boleh digunakan. Ini bermakna, bagi individu yang sudah divaksinasi, toksin dihasilkan oleh kuman jangkitan boleh dikenal pasti lalu dinyahaktifkan. Dalam keadaan sebegini, vaksin tidak menghasilkan tindakan secara langsung ke atas organisma patogen.
Penggunaan virus yang dilemahkan atau dimatikan, terutama bagi virus yang masih belum difahami sepenuhnya, membawa risikonya tersendiri. Oleh itu, wujud usaha untuk membolehkan hanya protein permukaan mikrob patogen dipencilkan dan dipersembahkan untuk dikenal pasti oleh sistem keimunan badan.
Cara sebegini membolehkan sistem pertahanan mengenali mikroorganisma yang boleh menjangkitinya dan menyediakan antibodi yang bersesuaian tanpa risiko seperti dalam kes penggunaan virus yang dilemahkan.
Antara usaha yang giat dijalankan di banyak makmal penyelidikan seluruh dunia, termasuk di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah kajian terhadap protein mikroorganisma yang berpotensi dijadikan sasaran ubatan. Ilmu biologi molekul dan bioteknologi menjadi teras yang mendokong penyelidikan sebegini. Usaha ini di-harap dapat menyediakan antibiotik generasi akan datang yang boleh menangani masalah kerintangan antibiotik dan antiviral. Teknologi yang dibangunkan membolehkan kajian sesuatu organisma patogen dilakukan dengan lebih cepat.
Sesuatu organisma yang baru saja dikenal pasti boleh diselidiki hingga memperoleh ubatan antimikrob atau vaksin dalam masa yang singkat dan bukan jangkamasa bertahun atau berabad lamanya seperti sekarang.
Dengan harapan sedemikian, maka tidak hairanlah dana hingga puluhan bilion dolar Amerika disalurkan setiap tahun dalam bidang bioteknologi. Penguasaan bidang ilmu biologi molekul dan bioteknologi, terutama aspek bioteknologi perubatan, dijangka dapat memberi pulangan yang menguntungkan pelabur awal.
Pelabur awal di sini dimaksudkan pemodal dan pengeluar dana penyelidikan besar-besaran seperti kerajaan Amerika Syarikat dan pemodal swasta seperti dana amanah. Selain menjanjikan pulangan kewangan, penguasaan teknologi penghasilan antimikrob dan vaksin juga mempunyai dampak dari segi jaminan keselamatan dan kesejahteraan sesebuah negara yang tidak dapat dinilai hanya berasaskan wang ringgit.
Penulis ialah penyelidik bidang biologi komputasi (bioinformatik) dan biologi struktur di Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.
0 comments:
Post a Comment