Menangani risiko ancaman sosial kanak-kanak

Menangani risiko ancaman sosial kanak-kanak

JUDUL: Perlindungan kanak-kanak berisiko
Pengarang: Siti Hajar Abu Bakar Ah dan Abd Hadi Zakaria
Penerbit: Penerbit Universiti Malaya
ISBN: 978-983-100-463-0
Pengulas: MOHD YAHYA MOHD ARIFFIN

KANAK-KANAK adalah modal insan yang penting untuk sesebuah negara. Mereka merupakan generasi pelapis yang menjadi harapan untuk meneruskan kemajuan yang dicapai dan dicorakkan oleh generasi kini.

Namun, jika golongan ini diabai serta dibiarkan terlibat dalam aktiviti antisosial, maka ia bakal menjejas dan merosakkan masa depan negara. Tingkah laku antisosial kanak-kanak termasuklah keganasan (fizikal dan harta benda), keganasan seksual, penyalahgunaan dadah, lepak, lari dari rumah, kongsi gelap dan geng samseng.

Sama ada sedar atau tidak, perubahan sosial dan desakan ekonomi menyebabkan ramai kanak-kanak hidup dan membesar dalam persekitaran berisiko. Kanak-kanak yang terdedah kepada persekitaran berisiko ini mempunyai kecenderungan tinggi untuk terlibat dengan pelbagai kegiatan antisosial.

Masa depan kumpulan kanak-kanak ini dikatakan amat kabur sekiranya kehidupan berisiko yang dilalui mereka tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh oleh pihak yang berkaitan. Malah apa yang lebih menggerunkan lagi seperti kata pengarang buku ini ialah jika masalah ini dipandang remeh oleh masyarakat maka, ia mampu mengancam kesejahteraan hidup masyarakat.

Cuba kita bayangkan bagaimanakah kehidupan sebuah komuniti yang mana majoriti daripada anggota muda (kanak-kanak) terdiri daripada mereka yang antisosial?

Begitulah antara gambaran yang dilontarkan oleh dua pengarang buku ini, Profesor Madya Dr. Siti Hajar Abu Bakar Ah dari Universiti Malaya dan Profesor Dr. Abd Hadi Zakaria dari Universiti Darul Iman mengenai kanak-kanak berisiko di negara ini.

Bagi memperkukuhkan hujah, mereka mengkaji beberapa persekitaran sosial berisiko iaitu persekitaran sosioekonomi keluarga yang mencabar, kapasiti dan kualiti kemahiran hidup yang dimiliki kanak-kanak serta persekitaran komuniti berisiko.

Buku setebal 219 halaman dengan lapan bab ini membincangkan tiga intervensi sosial yang boleh membantu dan melindungi kanak-kanak berisiko daripada ancaman faktor risiko atau terbabit sebagai pelaku antisosial.

Tiga intervensi itu ialah penjagaan peribadi bersemuka, program kemahiran hidup serta program penjagaan komuniti untuk kanakkanak berisiko. Buku ini memberi pengetahuan lebih luas berkaitan penjagaan sosial kanak-kanak berisiko dan lebih penting, sebagai usaha melindungi mereka.

Perkara asas yang perlu dilakukan oleh pihak berwajib sebelum mengenal pasti program pencelahan yang komprehensif untuk menangani tingkah laku antisosial kanak-kanak ialah mengenal pasti faktor prajadian dan risiko yang mendorong kanak-kanak terlibat dan melakukan aktiviti antisosial.

Perancangan program penjagaan sosial untuk menangani masalah tingkah laku berisiko kanak-kanak harus memenuhi tiga kekurangan keperluan golongan berkenaan.

Pertama ialah keperluan perhatian, kasih sayang, penjagaan, kawalan, bimbingan dan hubungan mesra daripada orang dewasa yang berkesan. Individu dewasa berkesan seperti ibu bapa, saudara terdekat, guru, profesional dalam bidang berkaitan dengan kanak-kanak berperanan penting membantu kanak-kanak berisiko mengawal diri sendiri, mengenal pasti kekurangan keperluan, merawat masalah serta memanfaatkan aset pengembangan dalam diri mereka seoptimum mungkin.

Program ini pula harus bersifat anjal.

Kedua, keperluan memiliki kemahiran hidup yang mampu membantu kanak-kanak berisiko menghadapi segala cabaran hidup yang wujud di persekitaran sosial mereka.

Menurut pengarang, penjagaan peribadi untuk kanak-kanak berisiko akan lebih berkesan jika mereka yang terlibat mempunyai kemahiran dalam bidang berkaitan.

Program yang dijalankan pula harus seimbang daripada segi keperluan sosial, akademik, sahsiah dan peribadi kanak-kanak ini, selain latihan harus terbuka. Maklumat mengenai latihan kemahiran ini harus dimaklumkan secara terus dan telus kepada kanak-kanak berisiko melalui sekolah, pusat pengembangan atau media massa.

Perkara ketiga ialah keperluan kanak-kanak berisiko untuk hidup dan membesar dalam persekitaran komuniti mesra dan membangun. Persekitaran ini harus menyediakan kaedah dan strategi yang terdapat dalam sesebuah komuniti bagi melindungi kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Di samping itu, persekitaran sedemikian merupakan elemen paling diperlukan oleh kanak-kanak ini untuk membentuk serta mengekalkan interaksi dan perhubungan yang positif dengan ahli lain dalam komuniti.

Menurut pengarang, cabaran Ketujuh dan Kesembilan Wawasan 2020 serta Dasar Sosial Negara dengan jelas menyentuh mengenai kepentingan persekitaran sosial yang mesra dan membangun dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang maju, sejahtera dan beretika mulia.

Isu yang dikaji dalam buku ini dilihat mampu menyumbang kepada peningkatan pemahaman dan kesedaran tentang perlindungan kanak-kanak berisiko di negara ini.

Buku ini amat sesuai dibaca dan dirujuk oleh masyarakat yang ingin mendalami, memahami serta mencari cara untuk melindungi kanak-kanak berisiko yang sememangnya wujud di sekeliling kita.

0 comments: