Menguji kemahuan rakyat
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
ESOK sebanyak 20,290 pengundi di Permatang Pasir akan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing memilih wakil rakyat mereka bagi menggantikan Allahyarham Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman yang meninggal dunia kerana sakit jantung pada 31 Julai lalu.
Pengundi berbangsa Melayu membentuk 72.4 peratus penduduk di N11, manakala 25.8 peratus lagi terdiri daripada pengundi berbangsa Cina, kaum India (3.39 peratus) dan kaum-kaum lain sebanyak 0.16 peratus.
Di tangan pengundi-pengundi inilah terletaknya nasib kedua-dua calon yang bertanding - Rohaizat Othman mewakili Barisan Nasional (BN) dan Mohd. Salleh Man (Pas).
Siapa yang menjadi pilihan penduduk Permatang Pasir semestinya didorong oleh kepercayaan dan keyakinan mereka bahawa dia mampu menjadi wakil rakyat yang 'terbaik'.
Dan maksud perkataan terbaik itu sangat luas dan rencam seperti mana yang telah ditunjukkan dalam siri pilihan raya sebelum ini di mana sebelum tahun 1999, calon BN menjadi yang terbaik lantas terpilih manakala selepas tahun tersebut Pas adalah yang terbaik bagi pengundi di situ.
Di situ timbul kesukaran untuk membuat penilaian terhadap 'calon terbaik' yang menjadi pilihan pengundi. Sifatnya yang subjektif menyebabkan tempoh kempen yang memasuki hari kelapan sukar untuk dijadikan kayu pengukur calon mana menjadi favourite penduduk Permatang Pasir.
Begitu juga jika dilihat dari sudut pembangunan di N11 itu.
Selama tiga penggal penduduk yang diwakili oleh pemimpin Pas dilihat seolah-olah selesa menjalani kehidupan sedemikian rupa. Keselesaan itu mungkin disebabkan segala kemudahan asas seperti bekalan api, elektrik dan jalan raya telah tersedia sebelum tahun 1999.
Sebab itu ada kalangan penduduk di Permatang Pasir tidak gemar apabila ada pemimpin bercakap soal membawa pembangunan di kawasan tersebut, malah ada kalangan mereka menyifatkan tanggungjawab menyediakan segala kemudahan rakyat adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat biar pun wakil rakyat di kawasan itu daripada parti pembangkang.
Tetapi tidak semua penduduk di Permatang Pasir berpandangan sedemikian. Banyak juga yang menaruh harapan kepada corak pembangunan yang tidak tertumpu kepada bentuk fizikal. Mereka mahu wakil rakyat yang dipilih kelak mampu 'mengisi' pembangunan yang telah dimulakan semasa wakil rakyat BN mewakili mereka.
Bagi mereka pemimpin yang selayaknya menjadi wakil rakyat di situ adalah calon yang mampu meneruskan pembangunan dan pada masa yang sama mengisi pembangunan tersebut dengan pelbagai kegiatan berfaedah.
Golongan miskin misalnya mahu kehidupan mereka terus dibela, ibu-ibu tunggal pula mahu mereka dilibatkan dalam program pembangunan modal insan manakala golongan muda kepingin pendedahan kepada pelbagai projek yang membolehkan mereka berdikari dan menjadi lebih berjaya.
Aspek inilah yang kurang mendapat sentuhan di Permatang Pasir sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk di situ lantaran pembangunan fizikal yang tersedia di situ tidak diisi dengan program-program untuk rakyat.
Penduduk bukan saja berasa tersisih dari arus pembangunan fizikal biar pun Permatang Pauh terletak di pinggir bandar malah pengisian pembangunan insan di situ juga tidak dipedulikan.
Dalam kempen-kempen Pas dan rakan pakatan pembangkang tidak bercakap mengenai pembangunan atau pengisian pembangunan. Bagi mereka penduduk di Permatang Pasir hanya perlu memilih wakil rakyat daripada parti Pas tetapi jangan diungkit soal pembangunan baik berupa fizikal mahu pun rohani.
Lebih daripada itu mereka juga menguar-uarkan bahawa penduduk di N11 tidak memerlukan pembangunan sebab itu sepanjang tiga penggal berkuasa di situ tiada usaha untuk memperbaiki keadaan dan mengisi keperluan rakyat.
Lantas Permatang Pasir kekal setakat pembangunan yang dilaksanakan di zaman BN memerintah di situ. Jika pun ada pembangunan tambahan, ia dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat bukannya oleh wakil rakyat yang mewakili parti pembangkang.
Boleh sahaja dibayangkan jika kawasan tersebut memilih wakil rakyat dari parti kerajaan, tentunya pembangunan baik berupa fizikal mahu pun rohani akan diteruskan selaras dengan keperluan rakyat di situ.
Namun kempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir yang hampir sampai ke penghujungnya masih sukar melihat apa pilihan sebenar penduduk di situ. Sama ada mereka ingin terus dinaungi wakil rakyat dari parti pembangkang atau pun kembali kepada BN tidak mudah untuk disimpulkan.
Begitu juga tidak dapat dipastikan sama ada trend memilih parti dan bukannya calon atau calon bukannya parti - yang mana satu diterima pakai di N11.
Sejauh mana keberkesanan kempen kedua-dua pihak untuk memenangi hati pengundi di N11 hanya akan terjawab esok.
Sama ada pengundi termakan dengan pendekatan menyerang peribadi lawan atau mereka percaya dengan janji-janji membawa pembangunan untuk rakyat - kesemuanya akan ditentukan oleh 20,290 pengundi Permatang Pasir.
Esok juga akan menjelaskan lagi maksud 'calon terbaik' yang dipilih oleh penduduk N11 untuk menjadi wakil mereka.
Sama ada calon itu benar-benar yang terbaik untuk masa depan Permatang Pasir dan penduduk di situ atau dia yang terbaik berdasarkan penilaian emosi, pengundi di situ ada jawapannya.
Begitu juga sama ada calon terbaik yang dipilih itu kerana diyakini dapat membawa perubahan kepada mereka atau semata-mata kerana terpedaya dengan ilusi.
Hakikatnya keputusan di Permatang Pasir akan menjadi penanda aras kepada penerimaan rakyat pelbagai bangsa dan keturunan terhadap kedua-dua parti yang bertanding.
Ia juga bakal menyimpulkan tentang sejauh mana parti-parti itu bersungguh-sungguh untuk kembali memenangi hati pengundi dan seterusnya mahu berbakti kepada rakyat.
Di situ juga akan memberi jawapan tentang semangat setiakawan dan lawan - juga erti persahabatan sehingga sanggup mengetepikan kerencaman perbezaan.
0 comments:
Post a Comment