RPS Kemar boleh diakses melalui jalan air dengan menggunakan perkhidmatan bot selama satu jam perjalanan dari Jeti Trojan, Tasik Temenggor, Perak.
SEJAK lebih dua dekad lalu, nasib penduduk Orang Asli di daerah Hulu Perak, Perak sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan negeri, Malahan bagi kebanyakan masyarakat terbabit, pembangunan demi pembangunan yang dilaksanakan kerajaan di kawasan penempatan mereka dianggap cukup membahagiakan.
Mana tidaknya, segala kemudahan seperti sekolah, klinik kesihatan, bekalan air bersih yang dinikmati penduduk lain di negeri ini turut dikecapi meskipun lokasi perkampungan mereka terlalu jauh di ceruk pedalaman.
Komitmen berterusan kerajaan negeri Perak, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan pemimpin setempat berjaya meningkatkan taraf hidup masyarakat berkenaan.
Perkara ini diakui ahli masyarakat tersebut di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, yang terletak di tebing Tasik Temenggor, Gerik, Perak. Perkampungan itu merupakan antara contoh penempatan Orang Asli di Hulu Perak yang berjaya dibangunkan menerusi usaha berterusan pihak-pihak berkenaan.
Merangkumi 15 buah kampung, RPS Kemar ketika ini mempunyai lebih 4,000 penduduk dan kira-kira 600 buah rumah.
Kawasan berkenaan dilengkapi dengan kemudahan asas yang lengkap seperti sebuah sekolah rendah, bekalan air bersih, dewan serbaguna dan juga jalan berturap.
Selain itu, RPS Kemar boleh diakses melalui jalan air dengan menggunakan perkhidmatan bot selama satu jam perjalanan dari Jeti Trojan, Tasik Temenggor. Untuk perjalanan darat pula, ia boleh dilakukan melalui laluan hutan tebal dari pekan kecil Lasah di Sungai Siput, Perak. Perjalanan darat mengambil masa kira-kira lima jam.
Rata-rata penduduk di penempatan ini sudah mempunyai pendapatan tetap, sama ada mengusahakan ladang, menoreh getah mahu pun menangkap ikan di Tasik Temenggor.
Begitu juga, cerita mengenai kejayaan anak-anak Orang Asli RPS Kemar melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi bukanlah sesuatu yang asing.
Ini dapat dibuktikan menerusi keazaman tiga anak muda, Sofiah anak Angah, 25, Rudi a/l Chua Chin Huat, 24, dan Afzainizam Omar, 24, yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Mekatronik di Institut Teknologi Perak (ITP) pada penghujung tahun lalu. Ia sekali gus membuktikan tiada apa yang mustahil yang boleh dilakukan oleh anak-anak muda Orang Asli di penempatan tersebut.
Mereka semakin matang malah tidak keterlaluan jika dikatakan, masing-masing mampu memikirkan apa yang terbaik untuk diwariskan kepada generasi Orang Asli akan datang.
Selain itu, ramai dalam kalangan penduduk RPS Kemar mula menanam getah di kawasan belukar di tepi Tasik Temenggor untuk menambah pendapatan, selain menoreh di ladang yang sedia ada.
Mereka tidak lagi menunggu bantuan daripada pihak berkaitan dan inisiatif menanam pokok getah berkenaan disifatkan Ketua Cawangan UMNO RPS Kemar, Aziz a/l Asuh sebagai manifestasi anjakan minda kelompok Orang Asli khususnya di Hulu Perak.
"Jika dahulu masyarakat Orang Asli bergantung harap kepada hasil-hasil hutan tetapi kini masyarakat mula sedar bahawa pekerjaan tradisi itu tidak akan memberi 'kebahagiaan' kepada generasi akan datang.
"Selepas kerajaan membantu penduduk menanam getah di kawasan ini, kami mula merasa nikmatnya dan tidak salah rasanya jika kami sendiri mengambil inisiatif demi masa depan anak dan cucu kami," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Ujarnya, peserta RPS Kemar kini memperoleh pendapatan bulanan antara RM1,000 hingga RM1,500, hasil daripada tanaman getah dan ini sekali gus menjadi cara terbaik, untuk tidak membiarkan mereka hidup berpindah randah.
"Kita sememangnya terhutang budi dengan komitmen kerajaan negeri khususnya bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Datuk Hasbullah Osman dan Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang sentiasa prihatin dengan keperluan kami," katanya.
Sungguhpun begitu, Aziz tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan apabila ada pihak luar cuba mengambil kesempatan terhadap masyarakat Orang Asli ini, khususnya penduduk RPS Kemar.
Katanya, adalah sesuatu yang memalukan sekiranya Orang Asli masih dianggap sebagai 'tidak reti', pak turut, dipergunakan untuk tujuan tertentu, sedangkan masing-masing tahu keupayaan kelompok pribumi itu kini setanding dengan masyarakat lain di negara ini.
"Saya sangat kecewa jika Orang Asli dipermain-mainkan oleh segelintir individu untuk kepentingan pihak tertentu.
"Kami tidak mahu dituduh sebagai golongan yang tidak mengenang budi atau berterima kasih, malah sehingga hari ini, jasa dan komitmen yang diberikan pemimpin-pemimpin berkenaan disanjung tinggi," katanya.
Sebagai pemimpin peringkat akar umbi, beliau sememangnya mahu melihat semua penduduk di penempatan berkenaan menongkah kejayaan demi kejayaan tanpa diganggu oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Penduduk RPS Kemar telah membuktikan bahawa kami mampu menjadi yang terbaik dalam meningkatkan taraf hidup dan berharap, semua pihak akan memberi sokongan sewajarnya," katanya.
|
|
Mengulas semangat yang ditunjukkan Aziz, Ketua Zon Orang Asli RPS Kemar dan RPS Banun, Che Harun Hussin memberitahu, beliau secara peribadi mengakui terharu dengan kesungguhan penduduk penempatan berkenaan menerima pembaharuan dan kemajuan yang disalurkan kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat sebelum ini.
"Sejak dilantik mengurus selia pembangunan di penempatan Orang Asli ini kira-kira enam tahun lalu, penduduk RPS Kemar telah membuktikan mereka bukan sahaja boleh berjaya dalam apa jua perkara yang diceburi tetapi juga menjadi contoh kepada masyarakat lain," katanya.
Jelas Che Harun, penduduk RPS Kemar sebenarnya semakin bijak dan matang malahan sepanjang tempoh berkhidmat di kawasan itu, segala perancangan untuk memajukan kawasan tersebut sama oleh JHEOA mahupun agensi berkaitan diterima dengan baik.
"Apa yang mengujakan, kesemua mereka memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan dan atas pertimbangan itulah, beberapa projek seperti pembinaan pencawang elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad dan pencawang selular sebuah syarikat telekomunikasi kini dalam proses pertimbangan untuk dibina di sini," katanya.
Namun beliau turut mengakui, hanya kekuatan diri dan iltizam menggunung Orang Asli terbabit mampu terus melonjak kehidupan mereka di tahap yang lebih baik.
0 comments:
Post a Comment