‘H1N1: Kita lapor secara telus, jujur’
TAN Sri Dr. Ismail Merican hairan kerana alamat e-mel peribadinya diketahui orang lain sedangkan ia tidak pernah didedahkan.
Sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang menjadi rujukan utama kerajaan, media dan rakyat ketika negara dilanda pandemik selesema babi atau Influenza A (H1N1) saat ini, beliau memberitahu butiran kandungan e-mel itu ada kalanya agak ‘menusuk’ dan ketikanya pula bernada positif.
“Antaranya mendakwa kami (Kementerian Kesihatan) beri maklumat tidak tepat serta mengelirukan mengenai H1N1, tidak lakukan apa yang sepatutnya dan persoalkan kenapa tidak bagi kemudahan lebih pada hospital.
“Tetapi mereka ini hanya pandai tulis dan lempar kritikan tetapi tidak tahu bahawa saya dan anggota saya bekerja setiap masa sehingga ke dinihari.
Begitupun saya tidak ‘melatah’, mana yang sempat saya jawab, saya jawab. Bagi saya, orang ramai kena pupuk kesedaran yang tinggi mengenai risiko H1N1 ini, kalau kita suruh pakai penutup mulut, pakailah,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan HASHNAN ABDULLAH serta jurugambar SAIFUL BAHARI ASHARI di pejabat beliau di Putrajaya, Khamis lalu.
Dr. Ismail percaya H1N1 yang mudah merebak sepantas ‘memetik jari’ daripada penghidapnya yang hanya bersin atau batuk di tempat awam, mampu dibendung jika semua pihak berdisiplin.
Utusan: Apa sebenarnya H1N1?
DR. ISMAIL: H1N1 adalah sejenis penyakit selesema (Influenza). Ia disebabkan oleh virus selesema. Virus ini mampu menjangkiti manusia menerusi saluran pernafasan. H1N1 adalah satu virus baru dan bukan biasa. Ia wujud dengan gabungan tiga jenis virus iaitu selesema burung, selesema bermusim dan selesema babi. Bila dikategorikan baru, ia senang dijangkiti sebab kita tidak memiliki daya ketahanan langsung.
H1N1 mempunyai dua ciri. Pertama ia senang dan mudah sangat dijangkiti. Ia merebak ke seluruh dunia dalam masa enam minggu sahaja dan ini disebabkan oleh perjalanan. Ciri kedua, ia tidak begitu serius berbanding dengan H5N1. Tetapi dalam banyak kes, ia lebih mudah dijangkiti oleh mereka yang dalam lingkungan umur produktif iaitu antara 20 hingga 45 tahun.
Risiko mereka yang mempunyai penyakit kronik untuk dijangkiti lebih tinggi berbanding orang biasa. Bagi selesema biasa, ia selalunya menjangkiti mereka yang berumur lebih 65 tahun atau kanak-kanak.
H1N1 ini tidak seperti selesema lain. Selesema lain itu memang ada tanda-tanda demam, sakit tekak, batuk dan lain-lain. Sesetengah orang dapat gejala yang berlainan daripada selesema biasa seperti cirit birit dan muntah.
Jadi, saya telah maklumkan kepada doktor, jika seseorang itu menghidap demam atau cirit birit pun, kita kena berhati-hati kerana ketika ini, susah hendak dikenal pasti sama ada ada ia H1N1 atau keracunan makanan.
Apa tanda utamanya?
Demam panas yang tinggi suhunya iaitu 39 Celsius ke atas dan sesak nafas.
Kalau tidak ada penyakit lain, cuma demam, sesak nafas, sakit dada, batuk tidak berhenti, maka ini gejala-gejala yang berbahaya. Lebihlebih lagi, jika kita dalam risiko tinggi.
Kenapa ia lebih kerap menyerang mereka dalam kategori umur 20 hingga 45 tahun?
Kita tidak tahu kenapa kerana tiap-tiap penyakit ada ‘keunikan’ tersendiri.
Berapa cepat H1N1 ini boleh merebak?
Dalam tempoh singkat dan dalam lingkungan satu meter dari mereka yang batuk atau bersin.
Orang yang pergi pasar raya, gunakanlah topeng mulut untuk menghindarkan jangkitan kepada orang lain. Tetapi malangnya, kebanyakan daripada orang kita tidak pakai topeng. Dan jika waktu itu, ada pesakit yang asma atau obes, habislah mereka.
Begitupun, ada sesetengah pakai topeng itu macam berfesyen pula dengan meletakkannya di bawah dagu. Pada masa sama, yang selalu dibuat oleh individu apabila bersin dan batuk ialah dia tidak cuci tangannya dan dalam masa dua jam, virus akan membiak.
Apabila bersalam dengan orang lain, maka ia boleh merebak termasuk apabila dia menggosok mata atau hidung.
Kadang-kadang semasa dalam lif, penghidap H1N1 ini batuk dan dia kemudian tekan butang dan di butang itu ada virus. Datang orang lain, dia pula tekan butang itu dan dalam keadaan inilah virus itu tersebar. Sebab itulah kita harus tekankan kebersihan.
Sesetengah orang yang faham tentang risiko H1N1 ini sampai tidak mahu lagi bersalam. Tetapi di sini apabila orang menghulur tangan, takkan tidak disambut. Nanti dikatakan sombong pula. Sebab itu dalam poket kita kena ada sanitizer.
Kalau dipantau pula di sesetengah restoran atau hotel 5 bintang atau Hentian Rehat dan Rawat (R&R), tidak kelihatan pun sabun walaupun sering kali ia dicuci. Perkaraperkara ini nampak kecil atau remeh tetapi cukup mustahak.
Ada kemungkinan virus ini sengaja disebarkan untuk mengaut keuntungan menerusi penjualan vaksin?
Takkan manusia begitu kejam sekali. Saya fikir ini tidak berlaku.
Kenapa angka korban H1N1 di Malaysia begitu tinggi?
Sesetengah kes itu mungkin bukan dalam golongan H1N1. Ia macam penyumbang dan bukan secara langsung. Realitinya, 80 peratus daripada kes yang diterima berkaitan H1N1 setakat ini mempunyai simptom penyakit lain seperti kencing manis dan kegagalan jantung. Jadi, dengan sendirinya jika kita menghidap penyakit-penyakit ini, risikonya memang ada dan tinggi untuk menghidap penyakit lain termasuklah H1N1.
Sebenarnya, jika kita ambil ujian di kalangan orang ramai, didapati kebanyakannya sudah menghidapi H1N1 tetapi tidak menunjukkan kesan-kesan yang serius. Ini kerana kebanyakan kes H1N1 akan sembuh atau 95 peratus akan pulih.
H1N1 ini sudah ada dalam komuniti kita. Kalau kita buat ujian di tekak sekarang ini, mungkin sudah banyak ada H1N1.
Jadi, saya khuatir kita agak ghairah melaporkan statistik kematian ini. Diharap kematian yang dilaporkan ini tidak disalahtafsirkan oleh orang ramai.
Tetapi kita tidak salahkan orang ramai kalau beranggapan ada banyak kes yang meninggal dunia. Kerana itu sekarang ini kita telah mewujudkan satu kumpulan untuk mengkaji semua kematian yang telah berlaku setakat ini kerana ia satu angka yang amat banyak.
Kumpulan ini akan menganalisis kenapa kematian itu berlaku. Apakah faktor yang menyumbang kepada kematian itu? Sama ada berlaku kelemahan Kalau ada kelemahan, kita akan atasinya.
Tetapi setakat ini kalau kita lihat kes-kes kematian itu, 80 peratus mempunyai penyakit lain selain H1N1 – jantung, kencing manis dan radang paru-paru.
Jadi, kenapa tidak dikategorikan balik punca kematian H1N1 ini?
Pada mulanya kita laporkan, kalau H1N1, kita akan putuskan puncanya H1N1. Tetapi di sesetengah negara, mereka mempunyai kaedah lain. Mereka tengok betul-betul dan lapor lambat. Mereka kaji, kalau ada kesan secara langsung, barulah diputuskan puncanya adalah H1N1.
Namun di Malaysia, kita cepat memaklumkannya. Jadi, mungkin kita terlalu telus tetapi ia bukan satu kesalahan atau kesilapan. Cuma kita mahu maklumkan kepada orang ramai yang ada risiko tinggi, besar kemungkinan mereka akan dapat gejala yang serius berbanding orang lain.
Dan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pun sudah berada di Malaysia ketika ini. Mereka mahu melihat angka kematian itu, sama ada cara kita laporkan itu sama dengan cara yang dilaporkan oleh negara lain.
Tetapi peliklah, Malaysia catat kematian yang banyak tetapi negara-negara sekitar begitu kurang. Itulah sebab kita mahu tengok balik punca kematian yang dikatakan dari H1N1 ini.
Bagaimana nanti ramai persoal kenapa Kementerian Kesihatan tidak tangguh dulu pengenalpastian punca kematian akibat H1N1 ini?
Kebanyakan kematian akibat H1N1 ini disebabkan radang paru-paru (pneumonia) dan jika ada kes yang mati disebabkan penyakit itu pada masa ini, kita kategorikan ia sebagai H1N1.
Kalau lihat di Selangor, tiap bulan berlaku 4 atau 5 kematian kes radang paru-paru. Malah sebelum H1N1 lagi. Tetapi radang paru-paru itu bukan berpunca dari H1N1 tetapi disebabkan bakteria dan lain-lain virus.
Jadi, bukan saya nak bagi orang ramai lagi keliru tetapi kita nak terangkan kenapa bilangan kematian di Malaysia tinggi sangat. Saya fikir dengan cara saya maklumkan tadi, kebanyakannya ada berkaitan dengan penyakit serius lain.
Dengan dijangkiti penyakit serius itu, besar kemungkinan mereka akan meninggal dunia. Jadi, kebanyakannya ada penyakit H1N1.
Sama ada ia penyebab utama atau penyumbang kepada kematian, kita akan jalankan kajian dan apabila kita dapat laporan dari kumpulan WHO itu.
Tetapi tak apalah, apa yang telah berlaku, telah berlaku. Sekarang ini, kita akan lihat setiap kes kematian dan kalau benar-benar disebabkan oleh H1N1, kita akan laporkan. Maknanya si pesakit itu tidak ada apa-apa penyakit tetapi tiba-tiba dapat radang paru-paru dalam dua tiga hari, masuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kemudian meninggal. Kita akan bedah siasat paru-parunya jika dipenuhi kesan jangkitan.
Dan kebiasaannya kebanyakan orang dapat radang paruparu sebelah sahaja tetapi kalau kedua-dua belah dijangkiti dalam masa 48 jam, individu itu boleh ditakrifkan sebagai penghidap H1N1.
Ini bermakna prosedur menangani H1N1 kita silap?
Tak mungkin silap kerana sebaik sahaja kementerian dengar ada H1N1, kita dah buka bilik operasi dan cuma kaedah ini mungkin berbeza dengan negara lain. Saya yakin apa yang kita buat adalah lebih lagi daripada apa yang diminta oleh WHO. Kita lebih baik.
Cuma orang ramai perlu lebih berhati-hati, bergiat aktiflah dan mengambil tanggungjawab bukan hanya untuk menjaga diri tetapi tidak beri peluang supaya virus itu tidak merebak kepada orang lain.
Kita memang terlalu jujur dalam memaklumkan punca kematian akibat H1N1 ini. Ini kerana kita mahu tekankan satu mesej supaya rakyat tidak mengambil ringan penyakit ini.
Mungkin media kita juga ada ‘masalah’ dalam melaporkan pasal H1N1 ini kerana negara-negara lain mana ada melaporkan tentang H1N1 ini. Hanya di Malaysia sahaja. Walaupun akhbar berniat untuk mewujudkan sikap berjaga-jaga tetapi janganlah sampai siar setiap hari. Kalau setiap minggu, okay lah.
Satu hal lagi, media pun pada masa sama turut menyiarkan surat daripada ‘mangkukmangkuk’ yang menyatakan tidak payah pakai topeng, tak payah itu, tak payah ini.
Padahal kementerian minta pakai topeng tetapi ‘mangkuk’ itu kata, jangan pakai topeng. Kementerian kata pula beri tamiflu dalam masa 48 jam, ‘mangkuk’ itu lagi pula kata tak payah.
Kalau kita bagi laporan yang boleh menimbulkan kekeliruan mesej, mana rakyat nak ikut dan mereka mesti ikut yang lebih senang iaitu ‘mangkuk’ itu lah. Bagi saya, ini semua masih belum dapat menyedarkan orang ramai. Sikap mereka tidak berubah.
Daripada segi pelancongan pula, mungkin ketelusan Malaysia ini memberi ruang kepada negara pesaing untuk mengatakan jangan ke Malaysia kerana ramai yang mati.
Dengan kehadiran anggota WHO ini, adakah Malaysia akan menyemak balik punca kematian 68 orang ini?
Kita tidak akan semak balik apa yang telah kita maklumkan. Cuma kita akan lebih mengetahui bahawa apa yang kita laporkan itu memang H1N1. Memang semua itu ada H1N1 tetapi cuma kita hendak tahu perkara sebenar daripada WHO. Sama ada kaedah kita gunakan untuk melaporkan kematian itu sama dengan negara lain. Itu sahaja.
Kalau kaedah sama dan memang 68 kematian berpunca dari H1N1, maka itu serius kerana kenapa kita guna kaedah yang sama tetapi negara-negara lain melaporkan kes kurang daripada kita.
Mungkin di negara ini, ciri-ciri penyakit itu berlainan sikit atau barangkali pesakit datang lambat untuk mendapat rawatan. Juga mungkin rawatan yang diberikan agak lewat sungguhpun mereka datang awal. Kita kena semak balik.
Lawatan WHO itu sekurang-kurangnya memberikan keyakinan kalau apa yang kita buat sama dengan negara lain tetapi kalau kaedah kita untuk melaporkan kematian itu sama dengan negara lain, saya khuatir juga kenapa kita dapat bilangan kematian yang begitu tinggi.
Adakah kementerian buat perbandingan kaedah mengkategorikan punca kematian H1N1 dengan negara lain?
Memang ada tetapi negara lain bukan semuanya buat. Macam China yang langsung tidak mencatatkan kematian H1N1 ini. Kita meraguinya. Bukan tak percaya tetapi cuma hairan kenapa sesetengah negara itu ia tidak mencatat kematian. Mungkin mereka ada tapisan, kita tidak tahu. Kalau negara itu terlalu banyak mencatat kematian H1N1, siapa nak pergi ke negara itu.
Bukan saya nak tuduh sesiapa tetapi cuma berharap dengan kunjungan WHO ini, kita akan lebih mengetahui sama ada apa yang kita jalankan menepati kaedah rawatan dan prosedurnya. Antaranya daripada segi memberi maklumat, ujian imbasan dan sebagainya.
Sekarang WHO tidak memaksa setiap negara mengikut cara mereka. Mereka hanya bagi garis panduan dan terpulang untuk menentukan yang mana lebih sesuai dan elok.
Kita memang ada pengalaman sewaktu Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan sebagainya. Lagipun, kita sudah ada pelan pandemik sejak 2006 dan sebab itulah kita yakin bendung H1N1 ini. Lagi pun pengalaman kita dan negara-negara ASEAN lebih daripada negara lain dalam menangani sesuatu wabak berjangkit. ASEAN lebih dahulu menjalankan aktiviti pencegahan atau penyaringan berbanding dengan Barat kerana kita lebih berpengalaman.
Tapi saat ini pun tidak nampak kebimbangan masyarakat kita terhadap H1N1?
Ya, saya sendiri tidak nampak. Mereka kata Kementerian Kesihatan kena lebih berusaha lagi tetapi saya nak tanya pada mereka, apa lagi kita nak usahakan? Kadang-kadang orang ramai mudah sebarkan khabar angin.
Dalam menangani sesuatu wabak atau krisis, sepatutnya hanya ada satu jurucakap sahaja. Ini exco negeri nak bercakap, kawan itu nak bercakap, kawan ini nak bercakap dan keadaan ini menyebabkan orang ramai lebih keliru. Ini juga menyebabkan imej jurucakap kerajaan terjejas.
Bagaimana dengan kepakaran. Adakah mencukupi untuk membendung H1N1?
Tidak ada masalah kerana H1N1 ini senang dirawat. Kita sudah maklumkan semua doktor kerajaan dan swasta. Sesiapa yang dimasukkan ke hospital disebabkan radang paru-paru, anggaplah ia H1N1 dan bagi segera ubat tamiflu.
Kita ada tiga kategori iaitu sesiapa ada risiko tinggi walaupun tidak masuk hospital, kita beri tamiflu. Atau sesiapa datang ke hospital kerana demam terlalu tinggi melebih dua hari, juga kita bagi tamiflu.
Tetapi sama ada doktor-doktor di 7,000 buah klinik sedia ada ini mengikut nasihat, tahu garis panduannya, tahu cara nak rawat yang ada H1N1 atau ada ILI (simptom penyakit serupa influenza), yang itu kita tidak tahu.
Tetapi kalau tidak tahu, saya hairan juga kerana hebahan telah dibuat sama ada melalui media, bengkel, ceramah dan laman web rasmi kementerian.
Orang ramai mungkin buat tinjauan dengan bertanyakan doktor, apa yang dia akan lakukan jika ada pesakit radang paru-paru atau batuk-batuk dan kita dengar apa yang dia (doktor) kata. Kadang-kadang kita pergi ke unit pesakit luar, yang bawa pesakit itu tidak pakai topeng sedangkan pesakit itu pakai topeng. Ini tak masuk akal kerana sepatutnya dia pakai topeng dan setiap orang yang berada di hospital itu kena pakai topeng. Tetapi saya tak nampak ini berlaku.
Perlukah dikuatkuasakan undang-undang pakai penutup mulut?
Kalau dikuatkuasakan undang-undang, orang ramai marah pula. Kalau tidak dikuatkuasakan, juga orang marah.
Bagaimana tahap pemantauan di pintu- pintu masuk termasuk lapangan terbang?
Mula-mula ia nampak berkesan kerana banyak kes import. Tetapi sekarang tidak berkesan kerana banyak kes jangkitan tempatan. Namun kita tetap teruskan pemeriksaan termasuk pengisian borang status kesihatan walaupun tak banyak kes dikesan.
Bagaimana dengan antiviral?
Ia mencukupi tetapi kita harapkan doktordoktor di luar sana jangan bagi ubat sewenang-wenangnya. Saya cukup marah jika mereka bagi sesuka hati kerana bimbang berlaku penolakan (resistance).
Tahap pemantauan di sekolah-sekolah pula adakah memuaskan?
Kita sudah meletakkan tanggungjawab itu kepada pengetua atau guru besar. Jadi, mereka boleh isytiharkan sekolah ditutup jika tidak ada murid-murid yang mencukupi untuk menjalankan kelas atau guru-guru terlalu ramai yang sakit. Kita bagi nasihat, kalau kelas masih boleh berjalan, jalanlah tetapi kalau sesiapa yang sakit, hantar dia balik.
Kepada ibu bapa, kalau anak sakit, jangan benarkan ke sekolah. Tanggungjawab itu terletak di bahu ibu bapa. Bagi pihak sekolah, sebelum kelas bermula, kena buat pengumuman siapa yang demam, batuk dan tak sihat. Jika ada, asingkan dan hantar balik.
Tetapi itupun agak terlambat kerana sebelum itu, mereka sudah pun bercampur dengan kawan-kawan mereka dalam bas dan kawasan sekolah sebelum pengumuman itu dibuat.
0 comments:
Post a Comment